SemasaSukan

Speedy Tigers perlu kurangkan kesilapan untuk raih kemenangan

Ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh, menekankan bahawa pasukan Speedy Tigers perlu mengurangkan kesilapan mudah dalam perlawanan untuk mencatat keputusan positif pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) kali ini.

Sarjit berkata aspek pertahanan menjadi fokus utama yang perlu diperbaiki bagi meningkatkan prestasi pasukan sebelum menghadapi Belgium esok. “Untuk perlawanan menentang India hari ini, para pemain bermain baik dan mempunyai peluang untuk menang namun keputusan akhir tidak memihak kepada kita atas kesilapan-kesilapan yang dilakukan. Posisi tengah dan serangan melakukan tugas dengan baik, cuma benteng pertahanan yang perlu diperbaiki untuk aksi selepas ini,” katanya.

Dalam perlawanan tersebut, Malaysia tewas 3-4 kepada India, sekali gus membantutkan harapan meraih kemenangan kedua berturut-turut di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah malam tadi. Gol Malaysia dijaringkan oleh Faizal Shaari (minit ke-12), Fitri Shaari (minit ke-36) dan Marhan Jalil (minit ke-45), manakala India membalas melalui Karthi Selvam (minit ke-7), Sukhjeet Singh (minit ke-21), Amit Rohidas (minit ke-39) dan Sanjay (minit ke-53).

Ketua Jurulatih India, Craig Fuilton, berkata walaupun berjaya meraih kemenangan, beberapa peluang terhidang gagal disudahkan pemainnya. Beliau turut memuji benteng pertahanan pasukannya yang berdisiplin, khususnya ketika Malaysia menyingkirkan penjaga gol dalam tujuh minit terakhir, namun masih berjaya mencipta peluang berbahaya.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button