
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan agar prosiding perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi disiarkan secara langsung bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem kehakiman negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata langkah itu penting berikutan wujud pihak tertentu yang memanipulasi fakta di media sosial sehingga menimbulkan tohmahan tidak berasas.
“Cadangan ini akan membolehkan orang ramai mengikuti prosiding secara telus. Jika dilaksanakan, ia memperlihatkan komitmen kerajaan terhadap ketelusan dan membolehkan masyarakat menilai sendiri perjalanan kes tersebut,” katanya pada sesi khas bersama media di sini hari ini.
Selain itu, SPRM turut mengesyorkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi kecerdasan buatan (AI) di semua lokap agensi penguat kuasa di seluruh negara.
Menurut Azam, terdapat aduan berkaitan isu rasuah, ketidakpatuhan serta kelemahan pemantauan di lokap yang masih menggunakan sistem CCTV lama dan tidak disambungkan ke pusat kawalan.
“CCTV amat penting bagi memastikan akauntabiliti. Malah, banyak CCTV sedia ada sudah ketinggalan zaman, berbentuk stand-alone serta tidak dapat dipantau secara berpusat. Justeru, sistem AI diperlukan untuk memperkukuh pemantauan dan ketelusan di lokap,” katanya.
— BERNAMA