
Kerajaan berpendapat cukai jualan dan perkhidmatan (SST) wajar diteruskan kerana ia merupakan cukai sedia ada yang telah difahami oleh industri, peniaga, dan rakyat.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), SST juga masih boleh ditambah baik untuk menjana hasil tambahan serta memberikan impak fiskal lebih pantas, memandangkan ia telah digunakan lebih 40 tahun.
“Jika dibandingkan dengan memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST), ia memerlukan persediaan sehingga dua tahun bagi membolehkan syarikat mengemas kini sistem pelaksanaan GST,” kata MOF dalam Jawapan Bagi Pertanyaan Jawab Lisan yang dipaparkan di portal Dewan Rakyat hari ini. Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mengenai kelebihan sistem SST berbanding GST.
MOF menjelaskan bahawa dengan peluasan skop SST, kerajaan dijangka menjana hasil tambahan sebanyak RM10 bilion setahun bermula 2026.
Kementerian itu turut memaklumkan bahawa GST dan SST mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.
-
Di bawah GST, cukai penggunaan dikenakan di pelbagai peringkat dan disertai dengan mekanisme kredit cukai input.
-
SST pula hanya dikenakan pada satu peringkat tanpa mekanisme kredit cukai input. Bagaimanapun, SST menawarkan kemudahan pengecualian tertentu, menjadikannya sistem yang boleh dilaksanakan secara bersasar.
— BERNAMA