SemasaSyria

Syria Tuntut Pencerobohan Israel Dihentikan, Tegas Kekerasan Tidak Halalkan Pendudukan

Syria pada Selasa menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan tegas bagi menghentikan pencerobohan Israel ke atas wilayah selatannya, sambil menegaskan bahawa penggunaan kekuatan ketenteraan sama sekali tidak akan menghalalkan pendudukan tersebut.

Dalam satu kenyataan rasmi, Kementerian Luar Syria mengecam keras serbuan berulang kali oleh tentera Israel di wilayah Quneitra dan Daraa, serta serangan menyasarkan orang awam termasuk golongan wanita, kanak-kanak dan warga emas.

Kementerian itu turut menuduh tentera Israel melanggar undang-undang antarabangsa, menjejaskan sumber pendapatan penduduk tempatan, serta menyekat akses mereka untuk mengusahakan tanah sendiri.

Damsyik dalam pada itu menegaskan semula kedaulatannya ke atas seluruh wilayah negara tersebut dan menggesa komuniti antarabangsa supaya memberi tekanan kepada Israel agar menghentikan serta-merta segala bentuk pencerobohan. Kerajaan Syria turut memberi amaran bahawa serangan yang berterusan itu bukan sahaja mengancam kestabilan serantau, malah menjejaskan prospek keamanan di rantau berkenaan.

Kenyataan tegas itu dikeluarkan susulan serangan terbaharu tentera Israel ke atas kawasan tanah pertanian berhampiran Koya dan Abidin di barat Daraa pada malam Isnin hingga awal pagi Selasa.

Menurut laporan agensi berita rasmi Syria, SANA, sebuah helikopter tentera Israel turut melepaskan tembakan mesingan berat ke arah sebuah kediaman di Koya, mengakibatkan rumah berkenaan terbakar dan memaksa penduduk melarikan diri menyelamatkan diri.

Insiden tersebut berlaku sejurus selepas serbuan tentera Israel ke atas kawasan berhampiran di Maariya pada petang Isnin, di mana anggota tentera bertindak menggeledah rumah-rumah penduduk, memukul seorang lelaki tempatan serta merosakkan kenderaannya.

Sejak kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember 2024, Israel dilaporkan telah memperluas kehadiran ketenteraannya di zon penampan antara Syria dan Dataran Tinggi Golan yang diduduki, selain mara ke beberapa bahagian di selatan Syria meskipun wujudnya Perjanjian Pengurangan Tentera 1974.

Sumber: Agensi Anadolu (AA)

Related Articles

Back to top button