PalestinSemasa

81 Peratus Struktur di Gaza Musnah!

Penilaian satelit terkini PBB dedah skala kemusnahan

BAITULMAQDIS — Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan hampir 81 peratus struktur di seluruh Semenanjung Gaza rosak atau musnah, berdasarkan penilaian satelit terbaharu susulan lebih dua tahun serangan berterusan rejim Israel.

Jurucakap PBB, Farhan Haq, memetik laporan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata, kemusnahan itu menunjukkan krisis kemanusiaan di Gaza semakin parah walaupun operasi bantuan sedang dipertingkatkan.

“Usaha memperluas bantuan kini mula menunjukkan kesan positif kepada penduduk di semua kawasan Gaza. Namun, jauh lebih banyak diperlukan bagi memastikan tiada sesiapa yang tercicir,” katanya dalam sidang media di New York.

Menurut Haq, kerja-kerja pemulihan sedang dijalankan di empat sekolah, manakala lima pusat pembelajaran sementara di Bandar Gaza telah dibuka semula dengan sokongan agensi PBB dan rakan pelaksana tempatan.

Penilaian oleh Pusat Satelit PBB (UNOSAT) menunjukkan utara Gaza mencatat peningkatan paling besar dalam kadar kemusnahan sejak Julai 2025, dengan hampir 5,700 struktur baharu dikenal pasti rosak.

Secara keseluruhan, lebih 123,000 struktur musnah sepenuhnya, 50,000 lagi rosak teruk atau sederhana, dan 24,000 berkemungkinan turut terjejas.

Sejak serangan bermula pada Oktober 2023, lebih 68,000 nyawa terkorban di Gaza akibat pengeboman tanpa henti oleh Israel.

Gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang dimeterai pada 10 Oktober lalu, berasaskan pelan damai 20 perkara yang dicadangkan Presiden AS Donald Trump, bagaimanapun telah berulang kali dilanggar oleh Israel.

Kemusnahan meluas itu kini menjadi simbol penderitaan rakyat Gaza, sebuah wilayah yang kian musnah, namun terus bertahan dalam perjuangan untuk hidup dan bermaruah. – Anadolu

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button