Sekurang-kurangnya empat orang maut manakala kerosakan besar dilaporkan di beberapa kawasan di seluruh negeri California susulan ribut kuat yang melanda sepanjang minggu cuti Krismas. Keadaan cuaca buruk itu mendorong pihak berkuasa negeri meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan menggerakkan bantuan kecemasan bagi melindungi penduduk yang terjejas.
Gabenor California, Gavin Newsom, pada malam Krismas mengisytiharkan darurat di enam daerah iaitu Los Angeles, Orange, Riverside, San Bernardino, San Diego dan Shasta. Pengisytiharan tersebut membolehkan kerajaan negeri menyalurkan lebih banyak sumber serta memohon bantuan persekutuan bagi menangani kesan ribut yang semakin serius.
Pihak berkuasa mengesahkan jumlah korban meningkat kepada sekurang-kurangnya empat orang setakat Khamis, dengan kematian dilaporkan di beberapa lokasi berasingan. Di San Diego, seorang lelaki berusia 64 tahun maut selepas dihempap pokok setinggi kira-kira 23 meter yang tumbang ketika beliau sedang mengalihkan kenderaannya. Di pantai utara Daerah Mendocino pula, seorang wanita berusia sekitar 70-an dihanyutkan ombak besar ketika berada di Taman Negeri MacKerricher.
Satu lagi kematian dilaporkan di kawasan Redding apabila seorang pemandu terperangkap di dalam kenderaannya yang dinaiki air, manakala di Daerah Sacramento, seorang timbalan sheriff maut dalam kemalangan yang dikaitkan dengan keadaan cuaca buruk pada Rabu.
Selain kehilangan nyawa, ribut tersebut turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik secara meluas. Kira-kira 140,000 pelanggan terputus bekalan elektrik pada malam Rabu akibat angin kencang dan pokok tumbang yang merosakkan infrastruktur elektrik. Walaupun kerja pemulihan berjaya mengembalikan bekalan kepada ribuan penduduk, setakat petang Khamis masih terdapat sekitar 92,000 pelanggan di seluruh negeri yang belum menerima bekalan elektrik.
Sumber: BERNAMA-Xinhua






