SemasaSukan

Piala Malaysia: Kim Pan Gon Yakin Selangor Miliki Kelebihan Di Kuching

Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon, menyuarakan keyakinan tinggi bahawa pasukannya mempunyai kelebihan menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2025-2026 menentang Kuching City FC pada 18 April depan.

Keyakinan itu dizahirkan pengendali dari Korea Selatan tersebut selepas melihat skuad Gergasi Merah mempamerkan aksi dominan walaupun sekadar terikat seri 1-1 pada perlawanan pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Kekal Corak Menyerang

Walaupun gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri dengan kemenangan, Pan Gon menegaskan Selangor tidak akan sesekali bermain secara bertahan apabila bertandang ke Kuching nanti.

“Kami mempunyai peluang lebih tinggi berbanding Kuching kerana saya fikir prestasi kami lebih baik. Kami menguasai dan mengawal permainan. Jika mereka mahu menyerang kami di tempat mereka, kami gembira.

“Kami akan ke sana untuk melihat sama ada mereka mahu menggunakan kelebihan itu (menyerang). Ia akan menjadi perlawanan yang baik kerana kami bukan sekadar bertahan, kami juga akan menyerang untuk menjadikannya perlawanan yang menarik buat peminat,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Drama VAR dan Gol Lewat

Dalam aksi malam tadi, Selangor menguasai sebahagian besar perlawanan namun dikejutkan dengan jaringan penalti Ronald Ngah Wanja pada minit ke-42 untuk meletakkan Kuching City di hadapan.

Terdahulu, penyokong tuan rumah hampa apabila jaringan Ahmad Zikri Mohd Khalili pada minit ke-21 dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).

Selangor hampir dihukum susulan kegagalan menyempurnakan beberapa peluang keemasan, namun rembatan jarak jauh Moraes pada masa kecederaan menyelamatkan maruah pasukan untuk mengikat kedudukan 1-1.

Rekod Tanpa Kalah Berterusan

Keputusan itu sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah Pan Gon sejak membimbing Selangor pada awal Januari lalu. Beliau kini mencatatkan rekod 14 perlawanan tanpa kalah dengan butiran 10 kemenangan dan empat keputusan seri dalam semua kejohanan.

“Kami mengawal permainan tetapi berdepan kesukaran mencipta peluang jaringan yang bersih. Itu masalahnya dan mungkin ada sedikit faktor nasib. Namun, saya mahu kekal positif untuk menghadapi perlawanan kedua nanti,” tambah Pan Gon.

Sebelum terbang ke Kuching untuk aksi penentuan, Selangor dijadualkan bertemu Sabah FC di tempat lawan dalam saingan Liga Super pada 11 April ini.


Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button