
Seorang bekas pegawai tentera Amerika Syarikat telah membuat dakwaan mengejutkan terhadap tentera Israel (IDF), mendakwa mereka bertanggungjawab membunuh kanak-kanak Palestin yang kelaparan di tapak bantuan di Gaza yang dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), sambil menyifatkan lokasi itu sebagai “perangkap maut yang direka”.
Pemberi maklumat tersebut, Leftenan Kolonel (Bersara) Anthony Aguilar, seorang bekas anggota elit Beret Hijau Tentera AS dan pekerja subkontraktor GHF, mendedahkan kepada pengulas Amerika Syarikat, Tucker Carlson, bahawa beliau menyaksikan secara langsung insiden pada 28 Mei lalu di mana seorang kanak-kanak lelaki bernama Amir ditembak mati sejurus menerima bantuan makanan.
“Budak ini sebaya dengan anak saya. Dia berkaki ayam, kelaparan, hanya memegang sedikit beras, beberapa biji lentil, dan setengah beg tepung. Dia bukan pejuang, bukan ancaman,” ujar Aguilar dalam nada emosi.
Menurut Aguilar, tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang ramai di luar perimeter tapak bantuan — peluru hidup, gas pemedih mata, dan bom tangan mengejut digunakan kononnya sebagai “kawalan orang ramai”.
“Tapi bila anda guna mesingan dan mortar untuk kawal orang awam yang kelaparan, anda sebenarnya sengaja mencipta pembunuhan,” katanya lagi.
Arahan Tembak Datang Dari Tentera Israel
Aguilar turut mendakwa bahawa IDF bukan sekadar hadir di lokasi, malah mengarahkan operasi bantuan dan kekerasan. Dalam satu kejadian di tapak bantuan lain, seorang pegawai perhubungan Israel di bilik kawalan GHF didakwa mengarahkan penembak tepat untuk melepaskan tembakan ke arah kanak-kanak Palestin yang cuba memanjat timbunan pasir untuk melarikan diri daripada dihimpit orang ramai.
“Saya diberitahu dengan jelas: pelanggan kami adalah IDF,” kata Aguilar kepada Senator AS, Chris Van Hollen.
“Tapak Bantuan Direka Sebagai Perangkap Maut”
Aguilar menggambarkan seluruh operasi pengagihan bantuan GHF sebagai sistem yang sengaja direka untuk menarik orang awam yang terdesak, hanya untuk mendedahkan mereka kepada tembakan dan kekerasan.
“Amerika keluarkan bantuan, kami tarik mereka masuk. Bila mereka datang atau pergi, mereka ditembak. Setiap kali GHF edarkan bantuan, hospital di Gaza dipenuhi mayat dan mangsa cedera,” ujarnya sambil merujuk kepada laporan dari Hospital Nasser.
Beliau turut mengecam kekurangan papan tanda, jurubahasa dan alat komunikasi di tapak edaran bantuan, menyebabkan orang awam keliru dan terdedah kepada risiko maut.
“Orang-orang ini tak faham arahan. Mereka tak tahu ke mana nak pergi. Mereka lapar. Tapi kita guna peluru, bukan kata-kata.”
GHF Menafikan – Tapi Bukti Aguilar Kukuh
Pihak GHF didakwa menafikan dakwaan kematian Amir dan menyatakan bahawa kanak-kanak itu masih hidup. Namun Aguilar menegaskan gambar yang digunakan untuk menafikan ceritanya adalah dari lokasi dan tarikh berbeza – malah gambar itu diambil olehnya sendiri.
“Gambar mereka tunjuk bukan Amir. Tempat berbeza, masa berbeza. Saya tahu kerana saya sendiri yang ambil gambar itu,” katanya.
“Saya Tiada Apa Nak Dapat – Hanya Mahu Kebenaran”
Aguilar menegaskan beliau tiada sebarang kepentingan politik. Beliau tidak bertanding jawatan, tidak menjual buku atau aktif di media sosial.
“Saya ada di sana. Saya pegang tangan Amir. Saya ambil gambar. Saya lihat dengan mata saya sendiri. Jadi siapa anda akan percaya? Seorang veteran 25 tahun, atau mesin propaganda di Washington?” soalnya.
Pendedahan berani Aguilar mencetuskan kebimbangan baharu terhadap peranan organisasi kemanusiaan yang dikaitkan dengan tentera, serta memperbaharui seruan antarabangsa agar siasatan bebas dilakukan terhadap pelanggaran hak asasi manusia di Gaza.
Sumber: TRT World