DuniaSemasa

Thailand dan Kemboja Hargai Peranan Malaysia Lancarkan Rundingan Keamanan Sempadan

Thailand dan Kemboja sekali lagi menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas peranan aktifnya sebagai pemudah cara dalam proses perdamaian, yang membantu meredakan ketegangan di kawasan sempadan kedua-dua negara baru-baru ini.

Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit, memuji usaha Malaysia yang berjaya menyelaras rundingan damai dengan sokongan ASEAN, sehingga membolehkan kedua-dua pihak mencapai kata sepakat untuk menangani isu berkenaan secara bersama.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dan kepada Kementerian Pertahanan kerana berjaya menyelaras mesyuarat ini dengan baik.

“Pagi tadi, saya bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kebangsaan Kemboja, Jeneral Tea Seiha, telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perbincangan berlangsung dalam suasana mesra dan membina,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) di Wisma Perwira, di sini.

Mesyuarat tersebut turut disertai sebagai pemerhati oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar; Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan; dan Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Nattaphon memaklumkan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan kemajuan positif hasil perbincangan GBC dan menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah memastikan kestabilan gencatan senjata di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Jeneral Tea Seiha menegaskan bahawa Kemboja akan terus bekerjasama dengan Thailand dan Malaysia secara jujur bagi memastikan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata berjalan lancar.

“Kemboja menghargai peranan Malaysia dan komited untuk menyelesaikan pertikaian ini melalui jalan damai, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan Piagam ASEAN,” ujarnya.

Ketegangan di sempadan memuncak sejak 28 Mei lalu berikutan insiden pertempuran di kawasan sengketa Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

Pada 28 Julai, kedua-dua negara bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat selepas mesyuarat khas di Putrajaya yang dipengerusikan oleh Anwar Ibrahim. Dalam mesyuarat itu, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, sepakat untuk mengadakan mesyuarat GBC sebagai sebahagian daripada pelaksanaan gencatan senjata tersebut.

Sumber – Bernama

Related Articles

Back to top button