DomestikSemasa

Tiada arahan tutup pondok tidak berdaftar di Kelantan dan Kedah – Mohd Na’im

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menafikan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa kerajaan akan mengarahkan penutupan pondok tidak berdaftar di Kelantan dan Kedah.

Beliau menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak benar, berniat jahat dan bersifat fitnah, selain dilakukan tanpa sebarang sumber rasmi yang sahih.

“Amat ketara perbuatan tidak bermoral dan memfitnah ini kerana ia tular tanpa menyatakan sebarang sumber yang sahih atau rasmi. Tindakan menyebarkan tuduhan tidak berasas, terutama yang melibatkan isu sensitif seperti institusi agama, adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh mengancam keharmonian masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis malam.

Mohd Na’im turut menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa memberikan sokongan penuh kepada institusi pendidikan Islam termasuk sekolah pondok, madrasah dan tahfiz sebagai antara tunjang pembangunan Malaysia MADANI.

Menurut beliau, pihak berkuasa agama kini sedang menambah baik sistem pendaftaran dan penarafan institusi pendidikan Islam bagi memastikan kebajikan pelajar, keselamatan, kesihatan serta kualiti pengajian agama terpelihara dan lebih diiktiraf.

“Saya menyeru semua pihak agar tidak menyebarkan berita palsu atau fitnah yang boleh menjejaskan imej institusi Islam serta menimbulkan kekeliruan masyarakat. Sebarang maklumat sahih berkenaan dasar atau keputusan rasmi akan disalurkan melalui saluran rasmi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan agensi berkaitan,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru masyarakat agar bersama-sama memelihara maruah institusi pondok dan pendidikan Islam serta menolak segala bentuk fitnah yang boleh memecah-belahkan umat.

Sumber: Bernama

Related Articles

Back to top button