
Tiga dron tidak dikenali dikesan terbang di atas kapal yang menyertai Flotilla Sumud ketika konvoi aktivis itu meneruskan pelayaran ke arah Gaza, kata jurucakap armada berkenaan pada Ahad.
Dalam kenyataan di akaun Instagram rasmi Sumud, jurucakap itu memaklumkan bahawa beberapa dron – yang asal-usulnya belum dapat dipastikan – dikesan menghampiri serta mengekori kapal, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan peserta.
“Pasukan kami memantau keadaan dengan teliti, mengutamakan keselamatan semua orang di atas kapal, dan bekerjasama dengan rakan kongsi untuk mendokumentasi serta menilai perkembangan ini,” katanya.
Ahli jawatankuasa pemandu armada, Wael Nawar, bagaimanapun menegaskan bahawa para peserta tetap tenang walaupun menyedari kehadiran dron.
“Tiada siapa yang panik. Kami sudah bersedia untuk setiap kemungkinan. Kini flotilla telah melepasi perairan Itali dari Sicily dan menuju ke perairan antarabangsa berhampiran Greece,” jelasnya.
“Ini hari keenam perjalanan kami. Semangat kami tetap kuat dan arah kami jelas – ke Gaza,” tambahnya.
Flotilla Sumud Global merupakan misi terbesar seumpamanya dengan kira-kira 50 kapal mengambil bahagian, termasuk 23 dari Afrika Utara serta lain-lain dari Eropah, Amerika Latin, Amerika Syarikat, Pakistan, India dan Malaysia.
Misi kemanusiaan ini bertujuan memecahkan sekatan Israel yang telah menjerut kehidupan 2.4 juta rakyat Palestin di Gaza selama lebih 18 tahun.
Israel sebelum ini beberapa kali memintas kapal-kapal bantuan ke Gaza, merampasnya serta menahan aktivis yang terlibat.
Sementara itu, laporan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini mendapati Israel sedang melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai di Gaza, yang setakat ini telah meragut lebih 65,000 nyawa sejak Oktober 2023.
Sumber: Anadolu Agency