
Universiti California, Los Angeles (UCLA) memaklumkan pentadbiran bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah membekukan pembiayaan persekutuan berjumlah AS$584 juta (kira-kira RM2.67 bilion) berikutan protes pro-Palestin di kampus berkenaan.
Canselor UCLA, Julio Frenk, dalam kenyataan di laman web universiti pada Rabu berkata dana tersebut kini berada dalam keadaan tergantung dan berisiko dibatalkan sepenuhnya.
Langkah itu diambil selepas kerajaan AS menegur pihak universiti susulan demonstrasi besar-besaran di UCLA tahun lalu yang membantah tindakan Israel di Gaza. Antara punca tekanan kewangan ini termasuk penyelesaian tuntutan mahkamah lebih AS$6 juta yang dibuat universiti terhadap beberapa pelajar dan seorang profesor yang mendakwa wujud unsur anti-Semitisme, selain tindakan undang-undang berkaitan insiden serangan ke atas penunjuk perasaan pro-Palestin pada 2024.
Sementara itu, laporan Los Angeles Times menyebut pihak pentadbiran UCLA sedang bersedia untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan bagi mencari penyelesaian.
Pentadbiran Trump sebelum ini juga telah menyelesaikan siasatan dengan Universiti Columbia dan Universiti Brown, masing-masing membayar pampasan lebih AS$220 juta dan AS$50 juta. Rundingan dengan Universiti Harvard pula dilaporkan masih berjalan.
Penyokong hak asasi manusia dan akademik menzahirkan kebimbangan berhubung implikasi tindakan ini terhadap kebebasan bersuara serta kebebasan akademik. Mereka turut mendakwa kritikan terhadap operasi ketenteraan Israel di Gaza sering disalah tafsir sebagai anti-Semitisme.
Selain tindakan kewangan, kerajaan AS turut cuba menghantar pulang pelajar asing yang terlibat dalam demonstrasi pro-Palestin, walaupun beberapa cubaan tersebut berdepan halangan mahkamah.
Sumber – TRT World