King’s College London (KCL) telah membenarkan seorang pelajar warga Mesir, Usama Ghanem, untuk kembali menyambung pengajiannya pada musim luruh ini selepas digantung selama hampir 18 bulan kerana menyertai demonstrasi pro-Palestin.
Menurut laporan CNN, pelajar berusia 22 tahun itu sebelum ini berdepan penggantungan tanpa tempoh yang pasti. Pihak universiti juga telah mengambil tindakan untuk menarik balik penajaan visanya atas dakwaan penglibatannya dalam protes pro-Palestin yang diterajui oleh pergerakan mahasiswa.
Menerusi e-mel yang dihantar pada penghujung Ogos lalu, KCL memaklumkan bahawa walaupun penemuan berhubung ‘salah laku bukan akademik’ masih dikekalkan, Ghanem didapati tidak melanggar sebarang syarat yang ditetapkan sepanjang tempoh tersebut.
“Syarat-syarat yang ditetapkan telah dipenuhi, dan tiada lagi sebab untuk penggantungan anda dikekalkan. Oleh itu, anda dijemput untuk mendaftar semula bagi sesi akademik 2026/2027,” menurut e-mel tersebut.
KCL turut mengesahkan dalam satu memo berasingan pada awal September bahawa mereka akan memulakan proses untuk memulihkan semula penajaan visa Ghanem.
Kes ini sebelum ini telah mengundang kritikan meluas daripada para ahli akademik yang menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan keras universiti-universiti di AS dan UK. Tindakan tatatertib sedemikian dilihat memberi impak yang tidak seimbang ke atas pelajar beragama Islam dan golongan kulit berwarna yang menyuarakan solidariti dan kritikan yang sah terhadap Israel.
Dalam pada itu, Ghanem dengan tegas menafikan sebarang dakwaan salah laku yang dilemparkan terhadapnya. Beliau menyifatkan keputusan semakan universiti itu sebagai satu titik rujukan (precedent) yang penting, dan berikrar untuk terus memperjuangkan hak rakyat Palestin serta mendesak penarikan pelaburan daripada syarikat senjata yang terpalit dengan genosid di Gaza.
Sementara itu, seorang jurucakap KCL menjelaskan bahawa semakan semula ke atas status Ghanem adalah prosedur standard universiti yang memang dijadualkan setahun selepas tindakan dikenakan. Universiti itu juga menegaskan bahawa keputusan muktamad berhubung visa terletak di bawah bidang kuasa Imigresen dan Visa UK (UKVI), manakala pihak universiti sekadar menjalankan tanggungjawab perundangan untuk melaporkan sebarang perubahan status pelajar.
Walaupun telah dibenarkan kembali mendaftar di universiti berkenaan, tindakan undang-undang yang difailkan oleh Ghanem terhadap KCL masih berjalan. Tuntutan kes tersebut merangkumi dakwaan berlakunya pencabulan hak asasi manusia, serangan, kecederaan fizikal, diskriminasi, dan gangguan oleh pihak universiti.
Sebagai rekod, serangan genosid Israel ke atas Gaza sejak Oktober 2023 telah meragut lebih 73,000 nyawa rakyat Palestin dan mencederakan lebih 174,000 mangsa, dengan 90 peratus infrastruktur musnah. Walaupun perjanjian gencatan senjata telah berkuat kuasa sejak Oktober 2025, tentera Israel dilaporkan terus melanggar ketetapan tersebut yang mengakibatkan seramai 1,381 rakyat Palestin terkorban setakat ini.
(Sumber: Agensi / TRT World)







