Aktivis anti-migran Israel, Sheffi Paz, mencetuskan kecaman meluas selepas memuat naik sebuah video binaan kecerdasan buatan (AI) yang memaparkan dirinya memandu trak sampah dan mengutip pencari suaka Afrika di sekitar jalanan Tel Aviv seolah-olah mereka adalah sampah.
Video yang dikongsi di media sosial pada 8 Ogos itu menggunakan lagu latar pop terkemuka, “Bye Bye Bye” oleh NSYNC, bersama kapsyen yang mendakwa dirinya sebagai “Jabatan Sanitasi” yang sedia berkhidmat. Tindakan tersebut mendapat bantahan keras daripada aktivis hak asasi manusia dan pengguna media sosial yang menyifatkannya sebagai perkauman, tidak berperikemanusiaan, serta berunsur hasutan.
Isu penempatan pendatang Afrika—terutamanya dari Eritrea dan Sudan yang melarikan diri daripada konflik—telah menjadi topik perdebatan hangat di Israel selama bertahun-tahun. Kebanyakan mereka diklasifikasikan oleh pihak berkuasa sebagai pendatang ekonomi, manakala kumpulan hak asasi manusia menegaskan bahawa mereka adalah pelarian yang memerlukan perlindungan antarabangsa.
Meskipun menerima kecaman hebat serta desakan agar akaun beliau disekat, Paz mempertahankan tindakannya dan menafikan tuduhan perkauman. Beliau mendakwa bahawa video tersebut disasarkan terhadap isu pendatang tanpa izin dan bukannya berdasarkan warna kulit.
Sumber: TRT World







