120 keluarga B40 dan asnaf di Nilai menerima bantuan MAPIM Malaysia
Terkesan akibat total lockdown
Bangi : Hidup apa adanya. Itulah antara rata-rata jawapan yang diperoleh oleh pasukan MAPIM Malaysia yang sempat menyantuni beberapa keluarga penerima bantuan, di dua buah tempat di Nilai, iaitu Taman Desaria dan Taman Semarak.
Mereka terdiri daripada golongan M40 yang turun menjadi B40, dan B40 pula turun menjadi golongan asnaf. Ramai antara keluarga ini hanya suaminya yang bekerja. Ada yang bekerja kilang, buruh binaan, dan peniaga kecil-kecilan. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kilang menghadkan pengeluaran dan gaji dipotong. Apatah lagi ketika Total Lockdown, ada yang terus diberikan cuti tanpa gaji, dan ada yang tidak bekerja seperti buruh binaan. Manakala peniaga kecil-kecilan seperti peniaga pasar malam juga tidak dapat meneruskan perniagaan.
Perkara ini sangat menjejaskan kehidupan kerana selama ini ada antara mereka mengharapkan ‘overtime’ bagi mencukupkan perbelanjaan harian. Ada pula yang suaminya sakit, dan ramai pula masih punyai anak kecil, dan anak yang masih bersekolah, dan perlu menambah kos internet bagi pendidikan dan pengajaran dalam talian.
Menyedari hakikat itu, Wisma MAPIM Malaysia di Bangi yang ‘berjiran’ dengan Nilai telah membuat kerjasama dengan Persatuan Penduduk dan Kebajikan Taman Desaria (PKPD), dan SMK Taman Semarak bagi mengesan dan mengenal pasti keluarga yang terjejas.
Menurut Pengerusi PPKD Khalid Puasa, “Kita sangat berterima kasih dengan MAPIM Malaysia kerana membuat inisiatif ini. Kerana memang ramai yang terjejas pendapatan keluarganya akibat covid.”
Nada yang sama dikongsi oleh wakil SMK Taman Semarak, Puan Farah Faizura, “Pihak sekolah memang ada senarai keluarga pelajar yang susah dan diberikan bantuan. Dalam senarai itu ada detail keluarga terbabit dan kita boleh jangka keluarga tersebut memang akan semakin susah ketika lockdown. Alhamdulillah, MAPIM sedia membantu. Setidak-tidaknya ia akan melegakan keluarga dalam tempoh lockdown ini.”
Berkenaan cara pengagihan, Ketua Biro Aduan Desaria, Tuan Ahmad Rostam menjelaskan, “Persatuan penduduk akan membantu MAPIM mengagihkan bantuan ini mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh MKN. Kita akan pastikan tidak ada SOP yang dilanggar.”
(Dr.) Sani Araby Al Kahery, Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM ketika dihubungi berkata,
“Ini tanda jelas, yang MAPIM Malaysia tidak pernah mengabaikan Malaysia. Walau kita sibuk dengan Palestin, sibuk dengan Syria, tetapi kita juga sebenarnya lebih sibuk di Malaysia. Kita sibuk membantu jiran-jiran di sekeliling MAPIM. Kita sangat sedar yang pandemik covid-19 ini memberi kesan yang sangat besar kepada ramai keluarga di Malaysia. Kita bantu sedaya upaya kita. Pegangan MAPIM jelas, kita sangat peduli dengan apa yang terjadi kepada ummah, dan kita akan terus membantu ummah, baik yang jauh apatah lagi yang dekat.”
Bantuan MAPIM Malaysia kepada ‘jiran’ di Nilai ini bertepatan dengan hadis Nabi Muhammad SAW, “Tidaklah beriman kepadaku orang yang kenyang semalaman sedangkan tetangganya kelaparan di sampingnya, padahal ia mengetahuinya.” (Riwayat At-Thabrani).
MAPIM Malaysia sangat berharap akan ada lebih ramai keluarga yang akan dapat dibantu. Oleh kerana itu MAPIM Malaysia merayu lebih banyak sumbangan dihulurkan kepada MAPIM Malaysia supaya akan ada lebih banyak bantuan yang dapat dihulurkan.
———————
MARI LAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB KITA
#MisiUmmahBantuUmmah
MAPIM Malaysia membuka peluang kepada orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan bencana dan kemiskinan dalam dan luar negara.
Sumbangan boleh dibuat melalui: www.BantuUmmah.com
ATAU menerusi Akaun Maybank TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
562263-540066
MAPIM Malaysia boleh dihubungi menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu
1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm) atau whatapps 012-800-2016