
Sebanyak 24 kapal flotila kemanusiaan berlepas dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol menuju ke Gaza semalam, membawa mesej solidariti dan bekalan bantuan asas untuk rakyat Palestin yang terus berdepan kepungan serta serangan berpanjangan.
Lebih 1,000 aktivis antarabangsa dari 44 negara menyertai misi Global Sumud Flotila (GSF) itu, termasuk 15 wakil Malaysia di bawah naungan Sekretariat Sumud Nusantara. Delegasi negara ini diketuai oleh Cinta Gaza Malaysia (CGM), MAPIM Malaysia dan Cinta Salam Malaysia, bersama sokongan pelbagai NGO tempatan lain.
Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia merangkap Chef de Mission Malaysia, Dato’ Dr. Sani Araby, berkata penyertaan Malaysia sekali lagi membuktikan pendirian tegas negara dalam memperjuangkan isu kemanusiaan sejagat.
“Delegasi Malaysia menerima sambutan hangat masyarakat antarabangsa ketika Jalur Gemilang dikibarkan di Barcelona.
Flotila ini bukan sekadar simbolik, ia bukti dunia memilih untuk bertindak, bukan hanya berbicara. Malaysia dihormati kerana keberanian yang dipimpin oleh Perdana Menteri selaku penaung Gerakan Sumud Nusantara, dengan langkah konsisten di peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Sumud Nusantara, Nadir Al-Nuri, yang juga ahli Jawatankuasa Induk GSF, menegaskan flotila tersebut mencerminkan kebangkitan global menolak pengepungan Gaza.
“Dari Barcelona hingga Kuala Lumpur, dari Asia Tenggara ke seluruh dunia – mesej kita sama: hentikan kebuluran, hentikan perang Gaza dan buka segera koridor kemanusiaan di Rafah,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif CGM menyeru rakyat Malaysia bersama masyarakat antarabangsa meningkatkan sokongan moral dan tekanan diplomatik terhadap rejim Zionis.
Menurut kenyataan itu lagi, 15 lagi wakil Malaysia dalam kumpulan kedua dijadual berlepas dari sebuah pelabuhan di Itali pada 4 Sept ini, manakala kumpulan ketiga dari Malaysia kini berada di Tunisia untuk menyertai armada flotila seterusnya.
Misi GSF menggabungkan pelbagai organisasi dari Eropah, Asia, Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah. Kesemua delegasi menegaskan komitmen mereka terhadap prinsip tanpa keganasan, sambil menjadikan kapal-kapal flotila sebagai simbol solidariti rakyat dunia terhadap penderitaan Gaza.