
Sekurang-kurangnya empat rakyat Palestin terbunuh, termasuk seorang budak lelaki berusia 14 tahun, dalam dua insiden berasingan di Tebing Barat yang diduduki, lapor Kementerian Kesihatan Palestin.
Di Kafr Malik, timur laut Ramallah, tiga rakyat Palestin maut selepas berpuluh-puluh peneroka haram Israel menyerbu kampung, membakar kenderaan, dan menyerang penduduk. Tujuh lagi cedera, dengan seorang dalam keadaan kritikal. Di bandar Yamun, dekat Jenin, seorang remaja berusia 14 tahun ditembak mati oleh tentera Israel, lapor Bulan Sabit Merah Palestin.
Saksi melaporkan tentera Israel menyerbu rumah dan perniagaan di kawasan itu, mencetuskan konfrontasi. Di Asira al-Qibliya berhampiran Nablus, peneroka haram Zionis menyerang seorang penduduk dengan batu, mencederakannya, dan membakar kira-kira 10 dunam tanah ladang. Mereka juga melepaskan tembakan ke arah penduduk yang cuba memadamkan api.
Selain itu, tentera Israel melakukan serbuan selama 16 jam di Yabad, menyekat pintu masuk dan mengenakan perintah berkurung. Di Jenin, tentera menyerbu kedai-kedai dan melepaskan gas pemedih mata ke arah penduduk.
Sejak Oktober 2023, sekurang-kurangnya 977 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 7,000 cedera di Tebing Barat akibat tindakan tentera Israel dan peneroka haram. Israel juga menghalau hampir 40,000 rakyat Palestin dari rumah mereka, dengan kem pelarian seperti Tulkarem dan Nur Shams musnah teruk, meninggalkan beribu-ribu tanpa tempat tinggal.
Pendudukan Israel di Tebing Barat, Gaza, dan Baitulmaqdis Timur bermula sejak Perang Arab-Israel 1967. Walaupun Israel berundur dari Gaza pada 2005, kawasan itu kekal di bawah kepungan ketat. Lebih 100 penempatan Zionis haram, menempatkan kira-kira 500,000 peneroka, telah dibina di wilayah yang diduduki, dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa.
Tahun lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengisytiharkan pendudukan Israel di wilayah Palestin sebagai haram dan menggesa pemindahan semua penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Sumber: TRT Global