
Sekumpulan menteri kabinet dari parti Likud pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah mengemukakan petisyen yang mendesak Israel untuk mengilhakkan Tebing Barat yang diduduki sebelum Knesset, parlimen Israel, berehat pada akhir bulan ini.
Petisyen yang ditandatangani oleh 15 menteri kabinet dan Speaker Knesset, Amir Ohana, itu dikeluarkan menjelang pertemuan penting Netanyahu dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, minggu depan. Pertemuan tersebut dijangka membincangkan cadangan gencatan senjata di Gaza selama 60 hari serta perjanjian pembebasan tebusan dengan Hamas.
Dalam petisyen itu, menteri-menteri dan anggota Knesset menyeru supaya kedaulatan dan undang-undang Israel dikuatkuasakan segera di Yudea dan Samaria, nama yang digunakan Israel untuk Tebing Barat. Mereka mendakwa serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober 2023 membuktikan bahawa konsep penempatan Yahudi berserta penubuhan negara Palestin adalah ancaman kepada kewujudan Israel.
“Kami perlu menyelesaikan tugas ini, menghapuskan ancaman dari dalam, dan mencegah pembunuhan beramai-ramai di tengah-tengah negara,” kata petisyen tersebut.
Tiada respons segera daripada pejabat Netanyahu. Menteri Hal Ehwal Strategik, Ron Dermer, yang tidak menandatangani petisyen itu, sedang berada di Washington untuk perbincangan mengenai isu Iran dan Gaza.
Israel menduduki Tebing Barat sejak Perang Arab-Israel 1967. Kini, terdapat kira-kira 500,000 peneroka haram di Tebing Barat dan lebih 200,000 di Baitulmaqdis Timur yang diduduki. Penempatan ini, yang dianggap melanggar undang-undang antarabangsa oleh kebanyakan negara, memisahkan komuniti Palestin dan menyukarkan pergerakan mereka.
Sementara itu, di Gaza, serangan Israel sejak Oktober 2023 telah menyebabkan lebih 56,600 kematian rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut agensi berita rasmi Palestin, WAFA. Anggaran pakar pula menunjukkan jumlah kematian sebenar mungkin mencecah 200,000, dengan kira-kira 11,000 lagi dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan.
Sumber: TRT World & Agensi