EkonomiSemasa

Petronas Tubuh Majlis Peralihan dan Jawatankuasa Modal Insan Susulan Penstrukturan Semula

Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah menubuhkan Majlis Peralihan dan Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan bagi menyelaras penempatan semula kakitangan secara adil dan berstruktur susulan pelaksanaan penstrukturan semula organisasi itu.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, langkah itu diambil bagi memastikan kebajikan warga kerja yang terkesan terpelihara. Mereka akan menerima pakej pemisahan yang kompetitif serta sokongan menyeluruh melalui program peralihan.

“Antara bentuk sokongan yang disediakan ialah bimbingan kerjaya, sokongan emosi, peningkatan kemahiran, perancangan kewangan, dan bantuan penempatan semula pekerjaan menerusi kerjasama dengan PERKESO, syarikat berkaitan kerajaan serta inisiatif keusahawanan Petronas,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Azalina menjelaskan bahawa langkah-langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi transformasi Petronas untuk memperkukuh daya tahan dan daya saing syarikat dalam menghadapi era peralihan tenaga. Malah, penstrukturan itu dirangka agar tidak menjejaskan sumbangan Petronas kepada hasil negara dan dasar pembangunan nasional.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Sabri Azit (PN-Jerai) yang meminta penjelasan berhubung langkah kerajaan susulan pengurangan lebih 5,000 tenaga kerja akibat penstrukturan tersebut dan kesannya terhadap pendapatan negara.

Dalam perkembangan berasingan, Azalina turut menjawab pertanyaan Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) mengenai pertindihan kuasa antara Petronas dan Petros di Sarawak.

Beliau memaklumkan bahawa Deklarasi Bersama yang ditandatangani pada 21 Mei 2025 menjadi asas kepada pembentukan rangka kerja kolaboratif antara kedua-dua organisasi. Menerusi deklarasi itu, Petronas akan terus memainkan peranan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974, termasuk dalam sektor huluan dan penjualan gas asli cecair (LNG) ke pasaran antarabangsa.

Sementara itu, Petros telah dilantik oleh kerajaan negeri Sarawak sebagai pengagregat gas bagi pasaran domestik negeri itu berkuat kuasa 1 Mac 2025. Pelantikan ini akan dihormati oleh semua pemain industri gas di Sarawak.

“Sebarang perjanjian sedia ada antara Petronas atau anak syarikatnya dengan pihak ketiga bagi penjualan LNG kekal berkuat kuasa dan tidak terjejas,” jelas Azalina.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button