
Pengguna Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli menyambut baik pemasangan lampu solar di beberapa lokasi berisiko tinggi di laluan berkenaan, dan berharap usaha ini dapat mencegah berulangnya tragedi kehilangan nyawa.
Tinjauan BERNAMA mendapati laluan sepanjang 123 kilometer yang menghubungkan Perak dan Kelantan itu kini lebih terang, termasuk di kawasan kemalangan tragis yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lalu.
Mohd Amir Faizal, 47, anggota Sukarelawan Skuad Sungai Petani Response Team yang aktif membantu pengguna JRTB sejak lima tahun lalu, berkata beliau melihat sendiri perubahan positif hasil usaha kerajaan.
“Selain lampu, kerajaan juga sedang menukar tar baharu, membaiki divider dan memasang cerucuk di lokasi berisiko. Usaha ini amat dialu-alukan. Terima kasih kerajaan,” katanya.
Oswarli Ramli, 65, pengusaha kedai makan di Gerik pula berkata pemasangan lampu solar sangat tepat kerana kawasan laluan itu sering gelap dan berisiko, terutama bagi pengguna yang jarang melaluinya.
“Jalan ini juga jadi laluan aktif haiwan liar seperti gajah. Papan tanda amaran pun perlu ditambah,” katanya.
Bagi anggota RELA Mohamad Afif Harun, 28, lampu solar bukan sahaja mengurangkan risiko kemalangan, tetapi juga mengelakkan kes kecurian kabel seperti yang sering berlaku pada lampu konvensional.
“Penyelenggaraan berkala penting untuk pastikan lampu berfungsi baik dan beri pencahayaan jelas,” katanya.
Sementara itu, Hamisah Ismail, 54, menyatakan rasa lega dan berterima kasih atas langkah proaktif kerajaan.
“Dulu hampir setiap bulan ada kemalangan maut. Sekarang, dengan adanya lampu solar, pengguna boleh nampak jalan dengan lebih jelas terutama di selekoh tajam dan kawasan berbukit,” katanya.
Pengarah JKR Perak, Zamri Mat Kasim ketika dihubungi memaklumkan bahawa kontraktor sedang giat memasang 385 unit lampu solar sejak awal Julai.
“Selain itu, kami juga menurap semula jalan, memperbaharui garisan jalan dan mengganti perabot jalan seperti penghadang dan papan tanda yang rosak,” katanya.
Beliau menjelaskan kerja menaik taraf laluan Persekutuan FT04 ini telah dirancang sejak Jun 2023, bukan semata-mata selepas berlakunya kemalangan besar.
“Kami perlu ikut prosedur sebelum kerja fizikal dijalankan,” tambahnya.
Sebelum ini, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelan jangka pendek dan panjang sedang dirangka bagi memastikan penyelenggaraan serta penambahbaikan JRTB dapat dilaksanakan secara berperingkat dan mampan.
— BERNAMA