
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz menegaskan bahawa angkatan tentera Israel (IDF) mesti melaksanakan setiap keputusan yang dibuat oleh kerajaan berhubung operasi di Gaza, meskipun wujud perpecahan dalaman mengenai cadangan pendudukan penuh ke atas wilayah yang telah dikepung itu.
Kenyataan tersebut hadir menjelang mesyuarat kabinet keselamatan yang dipanggil Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Khamis, bagi memutuskan sama ada memperluas serangan ketenteraan yang telah berlarutan hampir 23 bulan. Netanyahu menegaskan, penghapusan Hamas kekal sebagai syarat utama sebelum membebaskan baki tebusan yang masih berada di Gaza.
Media Israel memetik sumber keselamatan kanan yang memberi amaran tentang risiko memperluaskan operasi di kawasan berpenduduk padat seperti Bandar Gaza dan kem-kem pelarian, di mana ramai tebusan dipercayai ditahan.
Pada Rabu, tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan paksa baharu di utara dan selatan Gaza, termasuk Kota Gaza dan Khan Younis, sebagai persiapan memperluas skop pertempuran.
Perbezaan pendapat dilaporkan semakin ketara antara Netanyahu dan Ketua Turus Tentera, Leftenan Jeneral Eyal Zamir, yang memberi amaran bahawa pendudukan penuh berisiko menjadi “perangkap”. Menurut laporan, Zamir mengemukakan alternatif seperti strategi pengepungan dalam mesyuarat keselamatan bersama perdana menteri.
Walau bagaimanapun, Israel Katz menegaskan di platform X bahawa walaupun peranan tentera adalah memberi nasihat profesional kepada kerajaan, keputusan politik tetap perlu dilaksanakan dengan “tekad dan profesionalisme”.
Sementara itu, Ketua Pembangkang Yair Lapid menggesa Netanyahu agar tidak menduduki Gaza, menyifatkannya sebagai “idea yang sangat buruk dari segi operasi, moral dan ekonomi.”
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan pendudukan, berkata beliau tidak mengetahui butiran cadangan tersebut tetapi menambah: “Itu terpulang kepada Israel.”
Di peringkat antarabangsa, kebimbangan terus meningkat terhadap krisis kemanusiaan di Gaza. Daripada 251 tebusan yang diculik pada Oktober 2023, sebanyak 49 masih berada di Gaza, termasuk 27 yang disahkan telah meninggal dunia.
Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB mendedahkan bahawa hanya 1.5% tanah pertanian Gaza kekal tidak rosak dan boleh diakses, memberi amaran bahawa lebih dua juta penduduk kini berada di ambang kebuluran penuh. Ketua Pengarah FAO, Qu Dongyu, menegaskan bahawa kebuluran berlaku bukan kerana kekurangan makanan, tetapi kerana akses disekat, sistem pertanian tempatan musnah, dan keluarga tidak lagi mampu meneruskan kehidupan asas.
Sumber: TRT World & Agensi