
Penduduk di Taman Klebang Jaya, Chemor, gempar petang tadi apabila mayat seorang wanita dalam keadaan reput ditemukan di sebuah rumah di kawasan itu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, penemuan tersebut berlaku sekitar jam 4.25 petang apabila seorang lelaki, yang merupakan ejen syarikat penapis air dan penyaman udara, datang ke rumah berkenaan atas urusan kerja.
“Pengadu memaklumkan bahawa ketika berada di luar rumah itu, beliau ternampak mayat yang disyaki seorang wanita melalui tingkap. Keadaan mayat sudah dalam peringkat reput,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Susulan maklumat itu, pihak polis segera menghubungi unit forensik untuk menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian. Setakat ini, identiti mangsa dan punca kematian masih dalam siasatan.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil membantu siasatan.
— BERNAMA