
Oleh : Thoriq
Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengklasifikasikan semua pusat cuci kereta di bawah kawalannya sebagai “perniagaan berisiko tinggi”, sekali gus tertakluk kepada pemantauan ketat dan peraturan lebih tegas.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad, berkata langkah itu diambil susulan aduan berhubung amalan perkhidmatan yang lemah serta dakwaan diskriminasi terhadap pelanggan tempatan.
Beliau memberi amaran bahawa pusat cuci kereta yang didapati mengutamakan pelanggan asing berbanding rakyat tempatan berisiko kehilangan lesen operasi. Tindakan ini diambil selepas tular dakwaan sebuah pusat enggan menerima pelanggan Malaysia demi memberi keutamaan kepada pelanggan dari Singapura, meskipun MBJB belum menerima aduan rasmi.
Menurutnya, situasi tersebut berkemungkinan berpunca daripada pusat cuci kereta yang mengutamakan pakej penuh ketika waktu puncak.
Peraturan baharu ini juga menuntut pengusaha memastikan premis sentiasa bersih, bertanggungjawab terhadap alam sekitar, dan memberi layanan adil kepada semua pelanggan. Pemohon baharu perlu membuktikan sistem saliran di premis mereka teratur dan tidak mencemarkan jalan atau saluran air.
Bagi pusat yang menggaji pekerja asing, rekod lengkap pekerja mesti disimpan dan sedia diperiksa oleh MBJB serta pihak Imigresen.
Sepanjang 18 bulan lalu, MBJB telah menutup 86 pusat cuci kereta kerana beroperasi tanpa kelulusan.