
Kerajaan Sarawak bersetuju membina jalan baharu sepanjang kira-kira enam kilometer bagi menghubungkan Ulu Entabai dan Ulu Entaih, Meluan di Julau, dengan Ulu Penebak, Layar di Betong.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata persetujuan itu dibuat semasa beliau merasmikan Jambatan Nanga Lasi di Julau hari ini.
Menurut beliau, projek itu akan memendekkan masa perjalanan dari Meluan ke Betong dan Kuching kepada hanya dua jam setengah, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk luar bandar.
“Apabila jalan ini siap, Meluan tidak lagi dianggap jauh di pedalaman. Penduduk rumah panjang di sini boleh ke Kuching dan pulang pada hari yang sama. Mereka juga dapat memasarkan hasil pertanian terus ke bandar raya,” katanya.
Kos pembinaan yang dicadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin, dianggarkan mencecah puluhan juta ringgit.
Rolland berkata, jalan tersebut bakal memberi manfaat kepada 2,500 penduduk rumah panjang, tiga buah sekolah rendah dan sebuah klinik. Ia juga akan mempercepat proses penyukatan tanah hak adat bumiputera di kawasan terlibat.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, turut menyatakan sokongan terhadap projek berkenaan.
Pada majlis sama, Abang Johari meluluskan beberapa projek pembangunan lain termasuk naik taraf jalan tanah Nanga Lasi-Balut-Suchong bernilai RM92 juta, projek Jalan Lijan (RM80 juta), projek Jalan Nanga Entaih-Rh Sang Lasa-Kemalih serta 13 jalan penghubung (RM150 juta), dan pembinaan jalan ladang (RM5 juta) — menjadikan keseluruhan peruntukan RM327 juta.
Jambatan keluli Nanga Lasi sepanjang 96 meter yang siap pada 16 Januari lalu turut dirasmikan. Ia dibina menggantikan jambatan gantung lama yang uzur, menyediakan laluan lebih selamat dan pantas untuk kira-kira 2,250 penduduk setempat, menghubungkan Nanga Lasi-Balut dengan bandar utama seperti Sarikei dan Sibu.