
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berharap Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dapat membantu membekalkan lebih banyak benih padi bagi memperluas kawasan penanaman di negeri itu.
Beliau berkata Sarawak mempunyai tanah luas yang belum diteroka dan sesuai untuk pertanian, namun sering berdepan kekurangan benih padi.
“MARDI mungkin boleh bantu Sarawak dalam aspek benih kerana kita banyak tanah. Kita tanamkan dan dapat mengeluarkan hasil padi yang baik. Buat masa ini, kita telah memperuntukkan 14,000 hektar tanah untuk tanaman padi dengan sasaran menghasilkan 240,000 tan setahun,” katanya ketika merasmikan Persidangan Padi Kebangsaan 2025 di sini malam tadi.
Menurut Abang Johari, langkah memperluas tanaman padi adalah usaha mengurangkan kebergantungan negara kepada beras import.
“Jika tanaman padi di Sarawak berjaya, kita boleh bekalkan kepada seluruh negara, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada negara seperti Vietnam atau Kemboja,” katanya.
Sumber – Bernama