PalestinSemasa

Wanita Palestin Meninggal Dunia di Itali Selepas Dipindahkan Dari Gaza, Doktor Nyata Tiada Tanda Leukemia

Seorang wanita muda Palestin yang dipindahkan dari Semenanjung Gaza untuk rawatan perubatan meninggal dunia di Itali minggu lalu, dalam apa yang digambarkan doktor sebagai “satu kehilangan tragis akibat sekatan Israel yang memusnahkan sistem kesihatan di wilayah terkepung itu.

Mangsa, Marah Abu Zuhri, 19, tiba di Itali pada 14 Ogos melalui penerbangan udara kemanusiaan bersama beberapa pesakit Palestin lain. Israel sebelum ini mendakwa remaja itu menghidap leukemia, namun doktor di Hospital Universiti Santa Chiara, Pisa, mendapati tiada tanda-tanda penyakit tersebut.

“Pesakit berada dalam keadaan sangat lemah, terlantar sepenuhnya walaupun baru berusia 19 tahun. Kami tidak menemui sebarang sel jahat yang membuktikan leukemia,” kata Ketua Jabatan Hematologi hospital itu, Dr. Sara Galimberti.

Menurutnya, Zuhri mungkin telah salah didiagnosis dan sebaliknya menderita masalah kesihatan serius akibat kekurangan zat makanan serta rawatan yang tertangguh. Hospital berkenaan berkata, remaja itu meninggal dunia pada 15 Ogos selepas mengalami serangan jantung mengejut, sehari selepas tiba.

Upacara pengebumian Zuhri berlangsung di Pontasserchio, berhampiran Pisa, dengan kehadiran ratusan orang termasuk pegawai tempatan. Kerandanya dibalut bendera Palestin dan keffiyeh, manakala hadirin melaungkan slogan “Bebaskan Palestin”.

Datuk Bandar Matteo Cecchelli menyifatkan kematian itu sebagai simbol penderitaan rakyat Gaza yang berdepan “malapetaka kemanusiaan” dan menggesa masyarakat antarabangsa tidak lagi berdiam diri.

Ibu mangsa, Nabeela Abu Zuhri, yang menemani anaknya ke Itali, menolak bedah siasat atas alasan agama. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada Itali kerana berusaha menyelamatkan anaknya dan memohon doa untuk rakyat Palestin.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini memberi amaran bahawa perang Israel yang berlanjutan hampir dua tahun telah melumpuhkan sistem kesihatan Gaza dan mencetuskan krisis kebuluran.

Data PBB menunjukkan hampir 12,000 kanak-kanak bawah lima tahun kini mengalami kekurangan zat makanan akut, dengan lebih 2,500 daripadanya berada pada tahap paling berbahaya.

Israel menafikan wujud dasar kebuluran, namun laporan lapangan mendapati ramai pesakit, termasuk kanak-kanak, mati akibat kekurangan makanan dan rawatan asas.

Kementerian Kesihatan Gaza pula menyatakan lebih 18,000 pesakit dan cedera memerlukan rawatan segera di luar wilayah itu, namun proses pemindahan sering ditangguhkan oleh pihak berkuasa Israel.

Sumber: TRT Global / AP

Related Articles

Back to top button