PalestinSemasa

Kesaksian Banduan Palestin Dedah Penyeksaan Ngeri di Penjara Israel

Laporan terbaharu kumpulan hak banduan Palestin mendedahkan penderaan sistematik yang dialami tahanan Gaza di rangkaian penjara rahsia Israel, termasuk pukulan berterusan, kelaparan, seksaan psikologi dan layanan tidak berperikemanusiaan.

Taklimat bertajuk “Enduring Hell: Gaza Detainees Face Severe Israeli Torture and Terror Behind Bars” itu dikeluarkan oleh Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Persatuan Banduan Palestin. Ia mendokumentasikan kesaksian puluhan tahanan yang ditahan antara Julai hingga Ogos di Penjara Ramla dan kem tentera Sde Teiman – lokasi yang lama dikaitkan dengan penganiayaan berat terhadap rakyat Palestin.

Menurut peguam yang melawat, ramai banduan tiba ke bilik mesyuarat dalam keadaan terguncang, menangis, dan terlalu takut untuk bercakap. Mereka dipukul sebelum bertemu peguam serta dipaksa berbohong bahawa keadaan tahanan adalah “cemerlang”.

Banduan dilaporkan dikurung tanpa pendedahan cahaya matahari, hanya dibenarkan keluar selama 20 minit sehari dengan tangan bergari dan kepala tunduk. Tilam hanya diberikan pada waktu malam, manakala pada siang hari mereka dipaksa duduk di atas bingkai besi.

“Penghinaan itu berterusan. Ada tahanan dipaksa mengutuk keluarga mereka sendiri,” kata salah seorang peguam.

Seorang tahanan dikenali sebagai AY menceritakan bahawa beliau dipukul setiap hari selama sebulan, menyebabkan koyakan otot dada.

Tahanan lain, YD, berkata beliau disoal siasat di padang, dipukul hingga tulang rusuk patah, rambut tercabut, dan gari tercabut akibat pukulan terlalu ganas.

Seorang lagi tahanan, AB, mendakwa jarinya dipatahkan ketika sesi soal siasat, selain terdedah kepada keganasan seksual.

Selain penderaan fizikal, mereka dibiarkan hampir kebuluran. Catuan makanan terlalu kecil memaksa seluruh sel berkongsi sisa makanan untuk satu hidangan. Ramai kini kekurangan zat, lemah, serta dijangkiti penyakit kulit akibat kebersihan yang diabaikan.

Sejak Oktober 2023, ribuan rakyat Gaza termasuk wanita, kanak-kanak, warga emas, petugas perubatan dan wartawan ditahan. Ramai ditahan secara paksa tanpa identiti atau lokasi dimaklumkan, malah Palang Merah Antarabangsa dihalang daripada melawat.

Daripada 76 tahanan Palestin yang disahkan mati sejak bermulanya serangan ke atas Gaza, 46 daripadanya adalah penduduk Gaza yang diculik.

Laporan itu menyimpulkan bahawa penderaan ini adalah sebahagian daripada dasar hukuman kolektif Israel, dengan beberapa kes mencatatkan banduan mati akibat seksaan, kebuluran, malah rogol hingga mati.

Sumber – TRT World

Related Articles

Back to top button