PalestinSemasa

Pakistan Desak Negara Islam Bersatu Menentang Israel Selepas Serangan di Doha

Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif, menggesa negara-negara Islam untuk bersatu menentang Israel yang disifatkannya sebagai “negara penyangak”, susulan serangan udara rejim itu di Doha yang mengorbankan enam orang termasuk lima anggota Hamas dan seorang pegawai keselamatan Qatar.

“Asal percaya bahawa berlembut dengan Israel boleh menjamin keselamatan adalah satu kebodohan. Sudah tiba masanya dunia Islam bersatu menentang negara penyangak itu, bukan sahaja dari segi politik bahkan juga dengan melemahkan kekuatan ekonomi mereka,” tegas Asif menerusi ciapan di X (dahulu Twitter).

Beliau turut menekankan bahawa Pakistan sendiri pernah berdepan dengan kuasa besar India, sebuah negara jiran bersenjata nuklear yang lima kali ganda lebih besar. “Pakistan yang lemah dari segi ekonomi tetapi mempunyai kepimpinan tegas dan angkatan tentera profesional telah membuktikan bahawa kita mampu memberi pengajaran kepada musuh,” katanya.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, turut mengecam keras serangan Israel di Doha yang disifatkan sebagai tindakan tidak sah, keji dan membahayakan nyawa orang awam.
“Bagi pihak rakyat dan kerajaan Pakistan, saya mengutuk sekeras-kerasnya pengeboman Israel di Doha yang menyasarkan kawasan perumahan. Tindakan ini adalah provokasi berbahaya yang boleh menggugat keamanan dan kestabilan serantau,” ujar beliau.

Dalam masa sama, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani, menegaskan negaranya berhak bertindak balas terhadap serangan maut itu. “Kami percaya ini adalah saat penentu untuk Timur Tengah. Harus ada tindak balas dari seluruh rantau terhadap tindakan biadab seperti ini,” katanya pada sidang media di Doha.

Serangan Israel di Doha dianggap mencetuskan ketegangan baharu di rantau Teluk, dengan Qatar menuntut sokongan penuh negara-negara jiran. Pakistan pula menegaskan komitmen untuk terus bersama Qatar dan rakyat Palestin dalam menentang pencerobohan Israel.

— TRT World

Related Articles

Back to top button