
Arab Saudi memberi isyarat bahawa penubuhan sebuah negara Palestin boleh direalisasikan dalam masa terdekat sekiranya wujud kesungguhan politik dan sokongan antarabangsa yang konsisten, sambil memberi amaran bahawa tindakan pengilhakan haram Israel mengancam keamanan serantau.
Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al Saud berkata, “Kita boleh mempunyai negara Palestin dalam masa yang agak singkat, sebuah negara yang berdaya maju dan mampu hidup secara aman bersama jirannya, termasuk Israel.”
Beliau menegaskan tiada sebarang proses normalisasi antara Riyadh dan Tel Aviv dapat berlaku tanpa penubuhan negara Palestin berdasarkan sempadan 1967 yang diiktiraf undang-undang antarabangsa.
Kenyataan itu dibuat pada sidang luar Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-80 bersama rakan sejawatnya dari Norway, Sepanyol, Jordan dan Mesir, yang sebulat suara menegaskan bahawa penyelesaian dua negara adalah satu-satunya jalan ke arah keamanan berkekalan.
Menteri Luar Norway, Espen Barth Eide, berkata pengiktirafan terhadap Palestin semakin meluas, termasuk dari Sepanyol, Ireland, Slovenia dan beberapa negara Barat lain, menjadikan kini sebanyak 159 negara mengiktiraf Palestin.
Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares Bueno pula mengumumkan sumbangan tambahan €50 juta bagi menyokong Pihak Berkuasa Palestin yang kini berdepan tekanan kewangan. Beliau turut menegaskan bahawa kapal flotila bantuan dari Sepanyol menuju Gaza adalah misi kemanusiaan yang sah di bawah undang-undang antarabangsa dan tidak menimbulkan ancaman kepada sesiapa.
Sementara itu, Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty, berkata negaranya bersama Jordan sedang melatih pasukan keselamatan Palestin untuk digerakkan di Gaza dengan koordinasi bersama Pihak Berkuasa Palestin. Mesir, katanya, juga terbuka kepada idea menghantar pasukan antarabangsa ke Gaza, tetapi hanya dengan mandat Majlis Keselamatan PBB.
Putera Faisal menutup dengan penegasan bahawa peluang ke arah kenegaraan Palestin masih terbuka. “Jika ada kemahuan serius, kita boleh melihat negara Palestin terwujud dalam masa yang tidak terlalu lama,” katanya.
— TRT World