RAMALLAH: Seorang penduduk penempatan Israel dilaporkan telah menyerang seorang wanita Palestin sehingga tidak sedarkan diri ketika mangsa sedang menuai buah zaitun di kawasan Tebing Barat yang diduduki, mencetuskan kecaman keras daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Insiden berlaku di bandar Turmus Aya, terletak di timur Ramallah, apabila seorang lelaki bertopeng dilihat dalam rakaman sedang memukul wanita berusia sekitar 50-an dengan kayu secara berulang kali di bahagian kepala sehingga mangsa rebah ke tanah.

Pelapor Khas PBB mengenai situasi hak asasi manusia di wilayah Palestin, Francesca Albanese, menyelar serangan tersebut sebagai bukti berterusan kekejaman terhadap rakyat Palestin.
“Selama dua tahun, dunia telah menyaksikan adegan seperti ini dari Tebing Barat. Saya tertanya-tanya, di manakah warga Israel yang berprinsip…?” kata Albanese dalam kenyataan rasmi.
For 2 years, the world has seen scenes like this from the West Bank. I wonder where decent Israelis are; those who protest in Tel Aviv. Hatred of Hamas is one thing, but do they not feel some obligation to act to stop their fellow citizens behaving like criminals on the loose? https://t.co/N9fT4mVc60
— Francesca Albanese, UN Special Rapporteur oPt (@FranceskAlbs) October 19, 2025
Serangan terhadap petani Palestin semasa musim menuai zaitun bukanlah perkara baharu, namun insiden terbaru ini dianggap antara yang paling ganas dan menggemparkan. Musim menuai zaitun, yang berlangsung dari September hingga November, merupakan sumber pendapatan utama bagi ribuan keluarga Palestin.
PBB menyeru agar pihak berkuasa Israel mengambil tindakan segera terhadap pelaku dan menghentikan budaya kekebalan yang membolehkan serangan seperti ini berulang.
Albanese turut menekankan bahawa tindakan sedemikian melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip hak asasi manusia.
Insiden ini menambah tekanan terhadap Israel yang semakin dikritik oleh masyarakat antarabangsa berhubung dasar penempatan dan layanan terhadap penduduk Palestin di wilayah yang diduduki. – AWANI







