PalestinSemasa

Netanyahu Tegas Israel Bukan ‘Protektorat’ Amerika

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menegaskan bahawa negaranya tidak berada di bawah naungan atau kawalan Amerika Syarikat (AS), sambil menolak cadangan yang mengaitkan Israel sebagai “negara pelanggan” Washington.

Kenyataan tegas itu dibuat menjelang pertemuannya dengan Naib Presiden AS, JD Vance, bagi membincangkan kemajuan rundingan gencatan senjata di Gaza di tengah tekanan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap Israel.

“Kami bukan protektorat Amerika Syarikat. Israel sendiri akan menentukan keselamatannya,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya pada Rabu.

Kenyataan itu dipercayai sebagai reaksi terhadap rancangan gencatan senjata yang dibentangkan oleh Presiden AS Donald Trump, yang antaranya mencadangkan kehadiran pasukan keselamatan antarabangsa di Gaza — cadangan yang ditentang keras oleh Tel Aviv.

Bercakap kepada pemberita sebelum pertemuan bermula, JD Vance mengakui bahawa “jalan menuju keamanan penuh dengan rintangan besar,” namun menyuarakan keyakinan terhadap usaha damai yang sedang dijalankan.

Selepas pertemuan itu, kedua-dua pemimpin menolak dakwaan bahawa Israel sekadar mengikut arahan AS, sambil menegaskan hubungan kedua-dua negara berasaskan “perkongsian dan bukan penguasaan.”

“Kami tidak mahu menjadi negara vasal. Kami mahukan sekutu, bukan tuan,” ujar Netanyahu.

Beliau turut menyifatkan tuduhan bahawa Israel bertindak mengikut arahan Washington sebagai “tidak masuk akal.”

“Satu minggu mereka kata Israel mengawal AS. Minggu berikutnya mereka kata AS mengawal Israel. Kedua-duanya omong kosong,” katanya lagi.

Dalam pada itu, kerajaan Israel turut mengesahkan bahawa Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, dijadualkan tiba di Israel pada Jumaat untuk bertemu dengan Netanyahu bagi meneruskan siri perbincangan mengenai pelaksanaan gencatan senjata dan masa depan pentadbiran Gaza.

Naib Presiden Vance pula, dalam pertemuan berasingan dengan Presiden Israel Isaac Herzog, menyatakan keyakinan bahawa rundingan damai akan menghasilkan “tonggak keamanan” dan menegaskan komitmen Washington untuk terus memainkan peranan dalam usaha tersebut.

“Masih banyak kerja yang perlu dilakukan, tetapi saya optimis dengan arah yang sedang kita tuju,” kata Vance.

Sumber: TRT World & agensi antarabangsa

Related Articles

Back to top button