
Sekumpulan aktivis pro Palestin memanjat Pintu Brandenburg di Berlin dan menggantung sepanduk besar sebagai bantahan terhadap sokongan kerajaan Jerman terhadap serangan tentera Israel di Gaza. Tindakan berani itu berlaku pada awal pagi Khamis di Pariser Platz, dengan para aktivis menaiki puncak monumen bersejarah itu menggunakan sebuah trak lif sebelum mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan slogan pembebasan.
Sepanduk yang dinaikkan bertulis “Genocide: Never Again, Freedom for Palestine,” satu mesej yang menyasarkan pendirian tegas Berlin yang terus mempertahankan Israel walaupun kritikan masyarakat Jerman semakin meningkat terhadap perang yang disifatkan sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan. Polis Berlin menahan enam aktivis di tempat kejadian atas kesalahan menceroboh struktur bersejarah menggunakan peralatan industri.
Tindakan protes itu mencerminkan jurang yang semakin melebar antara kerajaan pimpinan Canselor Friedrich Merz dan rakyatnya. Merz, yang lantang mempertahankan keselamatan Israel atas alasan tanggungjawab sejarah era Nazi dan Holocaust, berulang kali menolak tuntutan agar Jerman menyokong sekatan senjata EU terhadap Israel atau mempertimbangkan pengiktirafan negara Palestin. Pendekatan keras itu dikritik oleh kumpulan hak asasi dan sebahagian penggubal undang-undang pembangkang yang melihat dasar Berlin sebagai ketinggalan daripada sentimen awam.
Beberapa tinjauan mutakhir memperlihatkan perubahan ketara dalam pandangan rakyat. Tinjauan ARD menunjukkan 63 peratus penduduk Jerman menentang tindakan ketenteraan Israel di Gaza, manakala 55 peratus mahu kerajaan Merz menyokong sekatan EU terhadap Israel. Satu lagi tinjauan oleh YouGov mendapati 62 peratus responden melihat tindakan Israel di Gaza sebagai pembunuhan beramai-ramai, memperkukuh tekanan terhadap Berlin untuk menyemak semula dasar luarnya.
Sumber: Anadolu Agency







