
Satu laporan baharu oleh akhbar mingguan Jerman ZEIT mendedahkan bahawa jumlah sebenar rakyat Palestin yang terbunuh akibat serangan Israel di Gaza mungkin jauh lebih tinggi berbanding angka rasmi yang dikeluarkan pihak berkuasa Gaza. Penyelidik dari Institut Penyelidikan Demografi Max Planck di Rostock menganggarkan sekurang-kurangnya 100,000 penduduk Gaza terbunuh dalam tempoh dua tahun pertama perang, yang turut digambarkan sebagai pembunuhan beramai ramai.
Ketua bersama projek itu, Irena Chen, berkata pasukan berkenaan menggunakan pendekatan demografi dan statistik yang memadukan data Kementerian Kesihatan Gaza, tinjauan isi rumah bebas serta laporan kematian yang diedarkan di media sosial. Katanya, objektif kajian bukan untuk mendapatkan angka tepat, tetapi menentukan skala sebenar kemusnahan manusia yang berlaku.
Pengiraan penyelidik menunjukkan antara 99,997 hingga 125,915 kematian, dengan anggaran median 112,069 orang. Angka ini hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding 67,173 kematian yang direkodkan secara rasmi oleh Kementerian Kesihatan Gaza sepanjang dua tahun pertama perang.
Menurut laporan ZEIT, tiada bukti bahawa angka rasmi Gaza dimanipulasi. Namun, pelbagai kajian terdahulu juga menunjukkan bahawa angka rasmi cenderung konservatif, memandangkan hanya kematian yang disahkan dengan sijil hospital direkodkan. Dengan banyak hospital tidak mampu beroperasi akibat serangan, ramai mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan tidak didaftarkan.
Penyelidik Max Planck turut merumuskan bahawa kira-kira 27 peratus mangsa perang adalah kanak-kanak bawah umur 15 tahun, manakala 24 peratus lagi merupakan wanita. Ketidaksempurnaan rekod rasmi jelas apabila kematian warga emas berusia lebih 60 tahun sering terlepas daripada pengiraan.
Kajian itu turut menilai kesan perang terhadap jangka hayat penduduk Gaza. Sebelum perang, jangka hayat dianggarkan 77 tahun bagi wanita dan 74 tahun bagi lelaki. Namun, bagi tahun 2024, penyelidik mengunjurkan jangka hayat merosot drastik kepada 46 tahun untuk wanita dan 36 tahun untuk lelaki. Penurunan ini mencerminkan tahap bahaya yang dihadapi rakyat Gaza akibat serangan berterusan serta kemusnahan infrastruktur asas.
Laporan ZEIT menggambarkan bagaimana keseluruhan wilayah itu kini menjadi runtuhan, dengan penduduknya hampir dipindahkan secara menyeluruh. Jika serangan Israel berterusan, para penyelidik memberi amaran bahawa angka kematian sebenar mungkin terus melonjak melepasi unjuran semasa.
Sumber: TRT World & Agencies







