PolitikSemasa

PRN Johor: PM Anwar Dijangka Lancar Jentera PH Malam Esok

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dijadualkan melancarkan jentera PH negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, malam esok.

Khabar mengenai pelancaran tersebut dikongsikan oleh Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse, menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau hari ini. Menurut Jimmy Puah, majlis pelancaran itu akan berlangsung di Dewan Sekolah Tinggi Cina, Batu Pahat, bermula jam 8 malam.

“Pelancaran jentera PRN PH Johor. ‘We are ready’ (Kami sudah bersedia),” kata beliau dalam hantaran tersebut.

Turut dijangka hadir bagi memberikan sokongan pada majlis pelancaran berkenaan ialah Timbalan Pengerusi PH yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, serta Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Sebelum ini, PH Johor telah menyatakan kesediaan dan mengumumkan komitmen mereka untuk meletakkan calon serta bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada saingan PRN kali ini.

Sebagai rekod, landskap politik pada PRN Johor tahun 2022 menyaksikan Barisan Nasional (BN) mendominasi dengan kemenangan 40 kerusi DUN, diikuti oleh PH yang memperoleh 12 kerusi, Perikatan Nasional (tiga kerusi), manakala MUDA memenangi satu kerusi.

DUN Johor telah dibubarkan secara rasmi pada 1 Jun lepas selepas mendapat perkenan daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

(Sumber: BERNAMA)

Related Articles

Back to top button