Kumpulan peneroka haram Israel bertindak mendirikan sebuah pos penempatan baharu berhampiran komuniti Badwi Al-Mahtoush di kawasan Khan al-Ahmar, Baitulmaqdis Timur yang diduduki. Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan rejim zionis untuk memperluas aktiviti penempatan haram di wilayah berkenaan.
Pejabat Gabenor Baitulmaqdis dalam satu kenyataan pada Rabu mendedahkan bahawa para peneroka haram mula memasang rumah mudah alih (pasang siap) serta struktur pertanian hanya kira-kira 100 meter dari kawasan kediaman penduduk Badwi di Al-Mahtoush.
Tindakan agresif itu dilaporkan berlaku selang beberapa hari selepas kumpulan pelampau terbabit menyambung talian paip air melintasi penempatan penduduk tempatan. Pihak gabenor menyifatkan provokasi tersebut sebagai taktik terancang untuk menekan komuniti Badwi, menyekat kawasan ragut ternakan mereka, serta mewujudkan fakta geografi baharu demi kepentingan Israel.
Ancaman Terhadap Kedaulatan Masa Depan Palestin
Khan al-Ahmar yang terletak secara strategik di timur Baitulmaqdis merupakan antara wilayah Palestin yang paling teruk disasarkan oleh projek peluasan penempatan haram rejim zionis.
Rakyat Palestin bersama pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa sebelum ini telah berulang kali mengeluarkan amaran keras. Sebarang usaha pengusiran paksa terhadap penduduk di kawasan ini akan memutuskan kesinambungan geografi antara wilayah utara dan selatan Tebing Barat, sekali gus melumpuhkan peluang pembentukan sebuah negara Palestin yang berdaulat pada masa hadapan.
Agenda Peluasan Kuasa Sayap Kanan Ekstrem
Insiden terbaharu ini berlaku sehari selepas Menteri Kewangan Israel yang berhaluan kanan ekstrem, Bezalel Smotrich, dengan bongkaknya mendakwa bahawa pembinaan pos penempatan di Tebing Barat kini sedang memecut pantas. Beliau mendakwa sebanyak 160 ladang penempatan telah dibina dan lebih 100 kawasan penempatan haram baharu diluluskan sejak beliau memegang jawatan.
Di bawah undang-undang antarabangsa, pembinaan penempatan Israel di seluruh wilayah Palestin yang diduduki adalah tidak sah (haram) sama sekali, malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkannya sebagai batu penghalang terbesar kepada proses keamanan serantau.
Sejak konflik dan serangan genosid Israel meletus di Gaza pada Oktober 2023, keganasan tentera serta peneroka haram di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur mencatatkan peningkatan luar biasa:
-
1,173 rakyat Palestin terkorban.
-
12,666 mengalami kecederaan.
-
Hampir 24,000 orang ditahan.
-
Lebih 33,000 penduduk kehilangan tempat tinggal akibat pengusiran paksa dan kemusnahan harta benda.
SUMBER: Anadolu Agency (AA) & Agensi






