PalestinSemasa

Ahli Politik Switzerland Dikecam Hebat, Tolak Bantuan Israel Atas Dasar Solidariti Gaza

Seorang ahli majlis bandar di Bern, Judith Schenk kini berdepan kecaman hebat daripada pelbagai pihak termasuk partinya sendiri selepas beliau secara terbuka mengkritik tawaran bantuan kerajaan Israel susulan tragedi kebakaran maut di pusat peranginan Crans-Montana pada Malam Tahun Baru.

Menerusi satu hantaran di Instagram, Schenk menyuarakan rasa meluatnya terhadap tawaran Israel untuk membantu mengenal pasti mayat mangsa kebakaran tersebut. Beliau menegaskan bahawa dirinya masih “dihantui oleh imej anak-anak muda yang dibakar hidup-hidup di Gaza,” lantas mempersoalkan moral kerajaan Israel yang didakwa memulakan kebakaran di sana tetapi kini berpura-pura mahu menghulurkan bantuan kepada Switzerland.

Kenyataan kontroversi itu menyebabkan Parti Demokrat Sosial (SP) cawangan Bern bertindak menjauhkan diri daripada ahli politik tersebut. Presiden bersama parti, Chandru Somasundaram menegaskan bahawa walaupun kritikan terhadap Israel dibenarkan, parti itu tetap mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan untuk mangsa tragedi dan tidak bersetuju dengan pendekatan Schenk.

Ini bukan kali pertama Schenk lantang mengkritik rejim Zionis; pada musim panas 2024, beliau pernah melabel tentera Israel sebagai “pembunuh kanak-kanak,” satu tindakan yang menyebabkan beliau dituduh bersifat antisemitik oleh organisasi Zionis tempatan.

Sumber: TRT World

Related Articles

Back to top button