DuniaSemasa

AI Harus Kekal Sebagai Alat Bantuan, Bukan Pembuat Keputusan – Bekas Hakim

Sebarang penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang memberi kesan kepada hak individu hanya wajar dilaksanakan selepas melalui ujian ketat serta pengawasan teliti, tegas bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal.

Beliau berkata, walaupun AI mampu membantu kerja manusia, teknologi itu harus kekal sebagai alat sokongan dan bukan pembuat keputusan, khususnya dalam sistem keadilan jenayah.

“AI sepatutnya pembantu, bukan penentu keputusan. Di Sabah, misalnya, sistem perintis AI pernah mencadangkan hukuman penjara 10 bulan dengan kebarangkalian 54 peratus bagi kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Namun, Majistret tetap menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara. Ini menunjukkan pertimbangan manusia perlu diutamakan,” katanya ketika sesi pleno Reformasi Keadilan Jenayah: Memastikan Etika AI dalam Prosiding Keadilan Jenayah sempena Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Harmindar, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Semakan Undang-Undang Jenayah, menegaskan perlunya rangka kerja jelas meliputi peraturan, langkah keselamatan dan pendekatan berasaskan risiko sebelum AI digunakan dalam sistem kehakiman.

Menurutnya, Singapura telah mengeluarkan garis panduan khas bagi penggunaan AI di mahkamah, manakala Filipina sedang merangka tadbir urus AI. Malaysia bersama negara ASEAN lain digesa mengambil langkah sama demi memastikan ketelusan, kebolehpercayaan serta mengelakkan bias teknologi.

“Kita perlu sentiasa bertanggungjawab. Jika AI digunakan dalam sistem kehakiman, ia mesti dengan penuh kesedaran dan persediaan menangani risiko agar manfaatnya dapat dimaksimumkan,” katanya.

Sementara itu, peguam Colin Seow dari Singapura berkongsi pengalaman republik itu menggunakan AI dalam forensik digital, yang mempercepat siasatan kes penderaan seksual kanak-kanak melalui penapisan automatik peranti yang dirampas.

Beliau berkata, sektor kewangan Singapura juga memanfaatkan AI melalui platform Collaborative Sharing of Money Laundering and Terrorism Financing Information and Cases (COSMIC) bagi menganalisis corak transaksi mencurigakan, sekali gus membantu bank mengesan jenayah kewangan tanpa menjejaskan kerahsiaan pelanggan.

Forum tiga hari itu menghimpunkan lebih 300 peserta dari rantau ASEAN dan antarabangsa dengan 58 penceramah, membincangkan pelbagai isu termasuk pembaharuan undang-undang, penyelesaian pertikaian alternatif dan hak asasi manusia.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button