DuniaSemasa

Arab Saudi umum pengadang di sekeliling Kaabah dialihkan

Oleh Hafiz Hanafiah, wartawan pelatih

MEKAH : Ketua Presiden Umum, Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais, mengumumkan  bahawa pengadang yang dipasang di sekeliling Kaabah telah dialihkan semalam.

Ini kerana Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman telah mengeluarkan titah diraja dan menyatakan bahawa langkah ini bertepatan dengan permulaan musim umrah yang baharu.

Menurut Saudi Gazette, Sheikh Al-Sudais menegaskan bahawa keputusan ini menggambarkan kesungguhan kepimpinan Arab Saudi dalam memudahkan jemaah haji dan pengunjung Masjidil Haram menunaikan ibadah dalam suasana rohani yang aman dan tenteram.

Lebih-lebih lagi dengan peningkatan jumlah jemaah dan pengunjung Masjidil Haram yang melaksanakan ibadah haji dan umrah.

Sebelum ini, penghadang di sekeliling Kaabah mula dipasang pada 1 Julai 2020 yang lalu selaras arahan Pusat Kebangsaan Untuk Pencegahan Coronavirus, sebagai langkah mengekang penularan pandemik COVID-19.

Hal ini menyebabkan jemaah haji dan umrah serta pelawat tidak boleh menyentuh atau mencium Kaabah dan Hajar al-Aswad.

Bagaimanapun, selepas pengisytiharan pengadang di sekeliling Kaabah dialihkan, jemaah di kota suci Mekah boleh menyentuh atau mencium semula Kaabah dan Hajar al-Aswad.

Perkara tersebut merupakan impian semua umat Islam apabila tiba di kota suci ini dan nikmat besar yang sangat dirindui.

Rata-rata netizen dari laman Twitter memberi komen yang positif dan berasa sangat gembira atas berita tersebut.

 

Related Articles

Back to top button