
Dewan Rayuan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menolak cabaran Israel terhadap kesahihan siasatan berhubung jenayah perang yang didakwa dilakukan di Gaza selepas Oktober 2023, sekali gus memberikan tamparan besar kepada usaha Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, untuk menyekat proses undang-undang antarabangsa itu.
Dalam penghakiman yang dikeluarkan pada Isnin, panel hakim ICC mengesahkan keputusan dewan pra-perbicaraan yang sebelum ini memutuskan bahawa tiada “situasi baharu” yang memerlukan pendakwa raya memulakan semula siasatan atau mengeluarkan pemberitahuan baharu kepada Israel. Mahkamah menegaskan bahawa konflik yang berlaku sejak Oktober 2023 masih berada dalam kerangka siasatan sedia ada berkaitan Palestin.
Menurut keputusan tersebut, siasatan pasca Oktober 2023 melibatkan jenis konflik bersenjata yang sama, wilayah yang sama serta pihak-pihak yang didakwa sama seperti yang telah disiasat sebelum ini. Hakim menyatakan siasatan asal yang dibuka pada tahun 2021 telah merangkumi jenayah perang yang dilakukan sejak 13 Jun 2014 tanpa had tarikh akhir.
Israel sebelum ini berhujah bahawa skala dan sifat konflik selepas 7 Oktober 2023 merupakan perubahan asas yang mencetuskan kewajipan undang-undang baharu di bawah Perkara 18 Statut Rom. Namun, hujah itu ditolak oleh hakim ICC yang memutuskan bahawa tiada perubahan ketara terhadap parameter siasatan yang memerlukan pemberitahuan baharu kepada Israel.
Keputusan ini sekali gus mengukuhkan asas undang-undang bagi waran tangkap yang dikeluarkan ICC pada November 2024 terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, yang dituduh melakukan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan. Israel bagaimanapun terus menolak bidang kuasa ICC.
Walaupun mahkamah menyatakan penghakiman itu tidak menjejaskan hak mana-mana negara untuk membangkitkan isu kebolehterimaan kes pada peringkat seterusnya, keputusan tersebut menghapuskan halangan prosedur utama dan membuka laluan kepada siasatan Gaza diteruskan.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel di Gaza telah mengorbankan hampir 70,700 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 171,100 orang. Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober, keadaan kemanusiaan di Gaza dilaporkan tidak menunjukkan pemulihan ketara apabila Israel terus mengenakan sekatan ketat terhadap kemasukan bantuan.
Sumber: Anadolu Ajansi (AA)







