
Amerika Syarikat dilaporkan telah mengedarkan draf resolusi kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menubuhkan Pasukan Keselamatan Antarabangsa (ISF) di Gaza yang kini berada di bawah kepungan rejim Israel.
Menurut laporan portal Axios, draf yang diklasifikasikan sebagai “sensitif tetapi tidak sulit” itu memberi mandat luas kepada AS dan beberapa negara peserta lain untuk mentadbir wilayah Gaza sekurang-kurangnya bagi tempoh dua tahun.
Pegawai AS memberitahu Axios bahawa draf resolusi tersebut dijangka menjadi asas rundingan antara anggota Majlis Keselamatan dalam beberapa hari akan datang, dengan sasaran untuk meluluskannya dalam masa beberapa minggu dan menghantar pasukan pertama ke Gaza seawal Januari.
ISF dijangka bertindak sebagai pasukan penguat kuasa, bukan pasukan pengaman, dengan keanggotaan tentera daripada beberapa negara yang akan menyertai pasukan itu melalui perundingan bersama “Lembaga Keamanan” Gaza.
Antara tanggungjawab utama ISF ialah mengawal sempadan Gaza dengan Israel dan Mesir, melindungi orang awam, memastikan laluan kemanusiaan berjalan selamat, serta melatih pasukan polis Palestin baharu bagi melaksanakan tugasan keselamatan tempatan.
Draf resolusi turut mencadangkan agar Lembaga Keamanan kekal beroperasi sehingga akhir tahun 2027. Selain itu, ISF juga diberi mandat untuk menstabilkan keadaan keselamatan di Gaza, memusnahkan infrastruktur ketenteraan dan mencegah pembinaannya semula, serta melucutkan senjata kumpulan bersenjata bukan negara.
Dalam reaksi berasingan, Menteri Luar Turki Hakan Fidan menjelaskan bahawa keputusan setiap negara sama ada untuk menghantar tentera atau tidak akan bergantung kepada kandungan akhir resolusi Majlis Keselamatan PBB yang dijangka diumumkan tidak lama lagi.
Fidan berkata, negara-negara Islam yang terlibat menekankan keperluan agar sebarang pasukan keselamatan mempunyai mandat dan legitimasi yang jelas di bawah rangka kerja PBB. Beliau turut menegaskan bahawa masa depan Gaza perlu diterajui oleh rakyat Palestin sendiri tanpa sebarang bentuk penjajahan baharu.
“Prinsip kami jelas: rakyat Palestin mesti mentadbir diri mereka sendiri dan menjamin keselamatan mereka. Komuniti antarabangsa hanya perlu menyokong mereka melalui pendekatan diplomatik, institusi dan ekonomi,” katanya selepas mesyuarat di Istanbul yang turut dihadiri menteri luar Indonesia, Pakistan, Arab Saudi, Jordan, serta wakil dari Emiriah Arab Bersatu dan Qatar.
Turki, yang memainkan peranan penting dalam usaha gencatan senjata sebelum ini, kini menggesa negara-negara Islam menggunakan pengaruh mereka bagi menyokong pembinaan semula Gaza yang musnah akibat serangan berterusan Israel.
Sumber: TRT World / Anadolu Agency







