
Wartawan dan pengulas politik Muslim Britain, Sami Hamdi, telah ditahan oleh pihak Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) Amerika Syarikat di Lapangan Terbang San Francisco, dipercayai akibat kritikannya terhadap kerajaan Israel.
Menurut Majlis Perhubungan Islam Amerika (CAIR), Hamdi ditahan selepas menghadiri majlis gala anjuran mereka di Sacramento, California, pada Sabtu lalu, dan sepatutnya berucap di satu lagi acara di Florida keesokan harinya.
Hamdi yang dikenali sebagai penganalisis politik di beberapa rangkaian televisyen Britain, dikatakan disoal siasat dan ditahan semasa dalam perjalanan pulang, tanpa sebab rasmi diberikan oleh pihak berkuasa imigresen.
CAIR dalam kenyataannya mengesahkan Hamdi masih berada dalam tahanan dan belum dihantar pulang, sambil menegaskan tindakan itu sebagai satu bentuk penindasan terhadap kebebasan bersuara.
“Menangkap warga Britain hanya kerana menentang kekejaman terhadap rakyat Palestin merupakan penghinaan terhadap prinsip kebebasan bersuara,” kata CAIR dalam kenyataan di platform X.
Organisasi itu turut menuduh pentadbiran Trump tunduk kepada tekanan pelobi pro-Israel yang ekstremis dan menggesa penahanan terhadap pengkritik Israel dihentikan segera.
Sejak Januari, pentadbiran Trump dilaporkan memperketatkan kawalan imigresen termasuk memantau akaun media sosial, membatalkan visa individu yang dikatakan menyokong Palestin, serta menghantar pulang pelajar dan pemegang kad hijau yang mengkritik Israel berhubung perang di Gaza.
Sumber: Anadolu Agency







