DomestikSemasa

Banjir di Perak: Lebih 300 calon SPM dipindahkan ke pusat peperiksaan baharu

Seramai 306 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari empat sekolah di Perak dipindahkan ke pusat peperiksaan baharu susulan banjir yang melanda negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah, berkata pemindahan melibatkan 275 calon sekolah dan 31 calon persendirian kerana keadaan sekolah tidak selamat. Calon dari SMK Abdul Rahman Talib, Teluk Intan (67 sekolah, 11 persendirian) dipindahkan ke SMK Seri Perak, manakala calon SMK Seri Kandi, Teluk Intan (59 sekolah) akan menduduki peperiksaan di SMK Seri Setia.

Calon dari SMK Tun Abdul Razak, Selekoh (93 sekolah, 20 persendirian) akan dipindahkan ke Dewan Masjid Tuminah Hamidi, dan 56 calon dari SMK Datuk Idris, Pantai Remis, ke SMK Pantai Remis. Selain itu, 20 calon dari Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan yang terlibat dengan insiden runtuhan cerun akan mengambil peperiksaan di SMK Pangkor.

Setakat 8 pagi, Perak mencatatkan 4,766 mangsa daripada 1,447 keluarga masih berlindung di 30 pusat pemindahan sementara di lima daerah iaitu Hilir Perak, Manjung, Bagan Datuk, Perak Tengah serta Larut Matang dan Selama.

Khairudin menegaskan kerajaan negeri melalui Kementerian Pendidikan sentiasa menekankan aspek keselamatan, kebersihan dan kesihatan di sekolah, termasuk pemantauan berterusan melalui Sistem Penarafan Keselamatan Sekolah serta kolaborasi dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi memastikan persekitaran pembelajaran selamat dan kondusif.

Sumber: Bernama

Related Articles

Back to top button