DuniaSemasa

Banjir Libya : Kisah mangsa selepas empangan pecah

Derna – Ketika dua empangan runtuh dan banjir mengoyak jalan-jalan di bandar Derna di Libya, membawa bersama mayat dan runtuhan bangunan, Ruba Hatem Yassine bersama kakaknya yang hamil dan beberapa orang saudara memanjat bumbung jiran untuk melarikan diri dari dihanyutkan air yang deras.

Dari situ, mereka bergerak melalui bumbung -bumbung rumah lain di sepanjang jalan yang sempit. Akhirnya, mereka sampai di loteng kecil sebuah bumbung yang lebih tinggi, dan menunggu selama berjam-jam ketika air melimpahi bandar.

Mereka boleh mendengar jiran mereka – terperangkap di dalam rumah yang separuh musnah dan menjerit, “Selamatkan kami, selamatkan kami,” kata Cik Yassine, bercakap melalui telefon dari rumah rakan di bandar Marj.

Setelah air banjir agak surut, mangsa lain yang terselamat membantu keluarganya yang seramai sembilan orang turun dari bumbung ke tempat selamat. Mereka mengharungi air setinggi lutut, meninggalkan segala-galanya tentang kehidupan lepas mereka.

“Kami berjalan tanpa alas kaki dan melihat rakan dan jiran kami mati di sekeliling kami,” katanya. “Dan kami tidak dapat berbuat apa-apa.”

Lebih 10,000 orang hilang, kata pihak berkuasa Libya pada hari Rabu, selepas bencana banjir besar yang melanda timur laut negara itu.

Angka kematian telah melepasi 5,000, boleh mencecah sehingga 20,000 berdasarkan jumlah daerah yang terhapus, Datuk Bandar Derna, Abdulmenam Al-Ghaithi, memberitahu televisyen Al Arabiya.

Islam Azouz, seorang pekerja bantuan dari Derna, berkata dia kehilangan puluhan saudara maranya. Dia berada di luar kota ketika banjir melanda dan apabila dia kembali dia tidak dapat mengenali kota tempat dia dibesarkan, yang telah ditelan air dan lumpur. Mereka yang terselamat, katanya, sedang menunggu khabar mereka yang masih hilang.

“Orang ramai menunggu di tepi laut,” katanya. “Hari ini 40 mayat terdampar ke darat.”

Faris al-Tayeh yang mengetuai sekumpulan sukarelawan berkata dia berjaya sampai ke Derna pada petang Isnin walaupun jalan raya rosak dan sesak dengan orang ramai yang melarikan diri.

“Kami tidak dapat membayangkan apa yang kami lihat: mayat di lautan, seluruh keluarga lenyap, bapa, anak lelaki dan saudaranya bertindan di atas satu sama lain,” katanya.

“Seluruh bangunan diseret ke dalam laut dengan penduduknya masih ada di dalam.”

Seluruh bandar telah terbelah oleh banjir, tambahnya.

“Untuk pergi dari satu sisi ke satu lagi, anda perlu mengembara lebih seratus kilometer,” kata Encik al-Tayeh, yang kini menganjurkan konvoi bantuan ke Derna.

Pada hari Selasa, datuk bandar bandar timur laut Tocra memberitahu al-Masar, saluran televisyen Libya, bahawa empangan ketiga di timur Libya, empangan Jaza, dipenuhi air dan hampir runtuh. Empangan itu, berada antara Derna dan bandar utama timur, Benghazi, memerlukan penyelenggaraan bagi mengelakkan bencana lain.

Beberapa jam kemudian, seorang pegawai Tentera Nasional Libya, pihak pemerintah di timur, menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan sebuah lagi empangan, Qattara, bersebelahan Benghazi. Kerajaan memaklumkan mereka sedang memasang pam air untuk melegakan tekanan di empangan Jaza.

Majlis Bandaraya Derna menggesa pembukaan laluan maritim ke bandar itu dan campur tangan antarabangsa dengan segera.

“Infrastruktur telah musnah, ia menyukarkan pekerja perubatan kecemasan untuk sampai ke kawasan ini,” kata Basheer Omar, jurucakap Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah di Libya. Tambahnya, pihak berkuasa tempatan terpaksa mematikan grid elektrik kerana bimbang orang ramai terkena renjatan elektrik dalam banjir.

Organisasinya telah menghantar bekalan dan sokongan teknikal ke Bulan Sabit Merah Libya.

“Kawasan-kawasan ini terputus sama sekali. Tiada telefon, tiada makanan, tiada elektrik. Jadi keadaan benar-benar teruk di kawasan ini,” katanya. “Ia di luar kemampuan pihak berkuasa di Libya, jadi Libya memerlukan sokongan masyarakat antarabangsa.”

SUMBER : New York Times dan Agensi

Related Articles

Back to top button