
Bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert, mengeluarkan amaran keras terhadap dasar kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu di Tebing Barat, dengan menyifatkan peningkatan keganasan peneroka haram dan penguasaan tanah sebagai satu percubaan untuk melakukan “pembersihan etnik” terhadap penduduk Palestin.
Dalam satu temu bual bersama program Europe Today di Euronews, Olmert menegaskan bahawa tindakan yang disokong oleh kerajaan Israel sekarang adalah satu permusuhan yang tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin yang tidak bersalah.
“Tiada siapa yang boleh disalahkan melainkan rakyat Israel yang tinggal di Tebing Barat dan kerajaan yang menyokong mereka. Ini adalah sesuatu yang hampir sama dengan percubaan untuk melakukan pembersihan etnik,” tegas Olmert.
Pelan Melumpuhkan Negara Palestin
Kenyataan Olmert itu hadir susulan keputusan kabinet keselamatan Israel untuk menguatkuasakan langkah-langkah baharu bagi meningkatkan kawalan di Tebing Barat, termasuk di kawasan yang sepatutnya berada di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin (PA) mengikut Perjanjian Oslo.
Menteri Kewangan ekstremis, Bezalel Smotrich, secara terbuka mengakui bahawa langkah tersebut bertujuan untuk “membunuh idea penubuhan negara Palestin” pada masa hadapan.
Antara impak utama langkah baharu ini termasuk:
-
Penguasaan Tanah: Memudahkan peneroka haram Israel membeli tanah di wilayah yang diduduki secara terus.
-
Perampasan Harta: Membuka jalan kepada perobohan besar-besaran harta benda milik rakyat Palestin.
-
Peluasan Penempatan: Rancangan membina 50,000 unit penempatan baharu dan perampasan lebih 14,000 ekar tanah sepanjang tempoh peperangan.
Krisis Kemanusiaan 2025
Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan situasi di Tebing Barat kini berada pada tahap paling kritikal:
-
Lebih 37,000 rakyat Palestin telah kehilangan tempat tinggal sepanjang tahun 2025 sahaja.
-
Keganasan peneroka haram Israel mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah.
-
Pembinaan jalan raya khas penempatan baharu di utara Baitulmaqdis Timur dilihat sebagai usaha menyekat akses rakyat Palestin ke wilayah tengah.
Reaksi Donald Trump dan PBB
Walaupun Israel terus meluaskan pengaruhnya, Presiden AS Donald Trump dilaporkan menyatakan bantahan terhadap pengilhakan (annexation) Tebing Barat. Pegawai Rumah Putih menegaskan bahawa kestabilan di wilayah itu adalah kunci kepada keselamatan serantau dan matlamat keamanan Amerika.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, turut melahirkan kebimbangan mendalam dan memberi amaran bahawa trajektori semasa Israel kini sedang “menghakis prospek penyelesaian dua negara.”
Untuk rekod, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah pun mengisytiharkan pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin sebagai haram pada Julai 2024 dan menuntut semua penempatan haram dirobohkan.
SUMBER: TRT World dan Agensi Antarabangsa.







