Kerajaan persekutuan Belgium secara rasmi telah meluluskan langkah drastik melarang kemasukan dan import barangan yang dihasilkan dari kawasan penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki.
Keputusan bersejarah itu dicapai dalam mesyuarat terakhir kabinet sebelum cuti musim panas, sebagai respons langsung terhadap kekejaman berterusan tentera rejim Zionis di Gaza serta lonjakan angka kematian orang awam yang mendadak.
Menurut laporan agensi berita Belga News Agency, langkah sekatan ekonomi ini merupakan sebahagian daripada pelan perjanjian yang telah dipersetujui oleh kerajaan Belgium sejak akhir musim panas lalu. Bagaimanapun, perincian teknikal mengenai mekanisme pelaksanaan larangan itu kini sedang dimuktamadkan.
Rancangan Jahat ‘Pengilhakan De Facto’ Israel
Tindakan tegas Belgium ini hadir ketika rejim Tel Aviv dilaporkan sedang rakus meluaskan kawasan penempatan haram mereka di Tebing Barat.
Berdasarkan data daripada Suruhanjaya Penjajahan dan Penentangan Tembok Palestin, pihak berkuasa Israel merancang untuk membina sebanyak 1,024 unit penempatan baharu di atas lebih 1,069 dunam tanah milik rakyat Palestin sejak awal Julai ini.
“Projek perluasan yang melibatkan kawasan penempatan Mevo Dotan, Beit Hagai, dan Asael ini jelas bertujuan untuk mengukuhkan ‘pengilhakan de facto’ (penguasaan mutlak secara tidak sah) Israel ke atas wilayah Palestin yang diduduki,” kata suruhanjaya tersebut dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini telah berulang kali menegaskan bahawa pembinaan penempatan Israel di wilayah Palestin adalah tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa dan secara langsung menjejaskan sebarang prospek ke arah penyelesaian dua negara.
Pelanggaran Gencatan Senjata Berterusan
Sekatan ekonomi oleh Belgium ini turut didorong oleh tindakan Israel yang berterusan mencabuli perjanjian gencatan senjata yang sepatutnya dipatuhi sejak 10 Oktober 2025.
Menurut data terbaharu daripada Kementerian Kesihatan Gaza, siri pelanggaran gencatan senjata oleh Israel telah mengorbankan lebih 1,100 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 3,600 yang lain.
Secara keseluruhannya, kempen ketenteraan berskala besar rejim Israel di Gaza sejak Oktober 2023 telah meragut lebih 73,000 nyawa rakyat Palestin dan mencederakan lebih 173,000 orang. Serangan tanpa henti itu turut memusnahkan hampir 90 peratus daripada infrastruktur awam di wilayah terkepung berkenaan.
Langkah terbaharu Belgium ini dilihat menyusuli tindakan Sepanyol sebelum ini yang telah meluluskan sekatan penuh (embargo) senjata ke atas Israel sebagai amaran keras terhadap pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Sumber: AA / TRT World







