PITAS: Situasi banjir di daerah Pitas kelihatan semakin pulih susulan penutupan dua pusat pemindahan sementara (PPS), Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pitas ll dan Dewan SK Rukom, semalam.
Jumlah mangsa menurun kepada 559 orang membabitkan 183 keluarga masih ditempatkan di PPS sehingga jam 9 pagi hari ini, berbanding 583 mangsa daripada 190 keluarga setakat jam 5 petang semalam.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah menyatakan, PPS Dewan Kampung Sinukab kekal rekod mangsa banjir seramai 510 daripada 170 keluarga.
“Seramai 49 mangsa daripada 13 keluarga masih berada di PPS Kampung Kusilad. Bagaimanapun, kita mengingatkan penduduk sekitar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini,” katanya.
Hujan lebat sejak Ahad lalu mengakibatkan banjir melanda masuk sebanyak 10 kampung dengan dua kampung terbaru yang ditenggelami air malam kelmarin adalah Kampung Boribi dan Kampung Untang-Untang/Mulung Kulung.
Lapan lagi kampung terbabit ialah Kampung Tambilidon, Kampung Kalumpang, Kampung Taka, Kampung Saab Darat, Kampung Rukom Ulu, Kampung Kusilad, Kampung Desa Seberang dan Kampung Kanibongan.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today