
Oleh : Alaa Madeng
Menjelang Hari Kemerdekaan Indonesia ke-80 pada 17 Ogos ini, pemandangan bendera merah-putih yang biasanya menghiasi rumah dan jalan raya di seluruh negara dilaporkan semakin digantikan dengan bendera lanun daripada siri anime Jepun terkenal, One Piece.
Bendera berlogo tengkorak bertopi jerami, simbol watak utama Monkey D. Luffy, kini dilihat berkibar di bumbung rumah, tiang bendera, malah di kawasan awam di beberapa wilayah. Menurut Jakarta Post, fenomena ini muncul sebagai bentuk protes terhadap kerajaan dan simbol penentangan terhadap ketidakadilan.
Di media sosial, sesetengah pengguna menyatakan enggan mengibarkan merah-putih tahun ini kerana menganggapnya “terlalu suci” untuk dipamerkan ketika rakyat masih “tercengkam kuasa”. Seruan Presiden Prabowo Subianto agar rakyat mengibarkan bendera negara sepanjang Ogos turut dianggap sesetengah pihak sebagai paksaan patriotisme yang tidak ikhlas.
Ahli Parlimen Parti Demokrasi Perjuangan Indonesia (PDI-P), Deddy Yevri Sitorus, melihat fenomena itu sebagai bentuk kritikan terbuka yang wajar dalam sebuah negara demokrasi. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Bima Arya Sugiarto, turut menegaskan bahawa ekspresi sedemikian dibenarkan selagi tidak bertentangan dengan Perlembagaan, namun mengingatkan agar bendera merah-putih tetap dihormati.
Bagaimanapun, beberapa tokoh kerajaan memberi amaran tegas. Timbalan Speaker Parlimen, Sufmi Dasco Ahmad, menyifatkan tindakan itu berpotensi mengancam perpaduan negara. Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan, Budi Gunawan, menegaskan bahawa mengibarkan bendera lanun pada 17 Ogos boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta 2009 berkaitan penghinaan terhadap bendera nasional.
Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia, Natalius Pigai, pula berkata kerajaan berhak melarang simbol tersebut jika terbukti mencetuskan perpecahan atau provokasi, khususnya apabila dikibarkan bersama bendera rasmi negara.
Siri One Piece, yang terkenal dengan kisah penentangan terhadap penindasan dan perjuangan kebebasan, mempunyai jutaan peminat di Indonesia dan sering dijadikan simbol kebangkitan rakyat dalam pelbagai isu sosial.