DuniaSemasa

MAPIM Seru Perpaduan Ummah, Tumpu Kepada Tiga Tonggak Utama Bantu Krisis Kemanusiaan Yemen

KUALA LUMPUR, 10 Ogos  – Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid menyeru masyarakat antarabangsa agar bersatu membantu Yemen melalui tiga tonggak utama iaitu kemanusiaan, kestabilan dan pembinaan semula negara itu.

Berucap pada Persidangan Partners for Yemen hari ini, beliau berkata krisis yang melanda Yemen adalah antara bencana kemanusiaan terburuk di dunia, berlaku bukan secara kebetulan tetapi akibat “reka bentuk” yang disengajakan, di mana kelaparan digunakan sebagai senjata dan keamanan digadai demi kepentingan politik.

“Tiga tonggak yang perlu diberi penekanan ialah kemanusiaan meletakkan nyawa, maruah dan hak rakyat Yemen di atas kepentingan politik atau ekonomi; kestabilan, menghentikan keganasan dan memulihkan kedaulatan; serta pembinaan semula bukan sahaja infrastruktur, tetapi juga pendidikan, kesihatan, ekonomi dan kepercayaan masyarakat,” katanya.

Menurut Mohd Azmi, tragedi di Yemen tidak boleh dilihat secara terasing kerana ia sebahagian daripada pola penindasan global yang turut berlaku di Palestin, Kashmir, kem pelarian Rohingya, Syria serta minoriti Muslim di Afrika dan Eropah.

“Apabila mangsa datang daripada ummah, undang-undang antarabangsa kelihatan dilaksanakan secara pilih kasih, keutamaan mula pudar dan dunia menjadi bisu,” tegas beliau.

Beliau menegaskan, keutamaan kini ialah menggerakkan usaha bantuan bersepadu termasuk menyediakan makanan, merawat yang cedera, memberi perlindungan kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal serta memastikan pendidikan tidak terhenti.

“Setiap buku, setiap bilik darjah, setiap guru yang dilatih adalah tamparan kepada pihak yang mahu Yemen kekal hancur. Pendidikan adalah kunci memutuskan kitaran perang, kemiskinan dan keputusasaan,” ujarnya.

Mohd Azmi berkata, usaha membina semula Yemen bukanlah amal kebajikan semata-mata tetapi suatu tuntutan keadilan dan pemenuhan tanggungjawab moral kepada sebuah bangsa yang ditinggalkan oleh hati nurani dunia.

Beliau mengakhiri ucapan dengan menyeru semua pihak keluar daripada persidangan itu bukan hanya sebagai penderma atau delegasi, tetapi sebagai saudara seagama dan sesama insan yang terikat dengan tanggungjawab suci untuk mengembalikan keamanan, pendidikan, makanan dan harapan kepada rakyat Yemen.

Related Articles

Back to top button