SemasaSukan

Brunei hentikan kemaraan skuad polo Malaysia ke final Sukan SEA 2025

Rentak cemerlang skuad equestrian polo Malaysia terhenti di separuh akhir selepas tewas kepada Brunei dengan keputusan 6-9 pada aksi separuh akhir Sukan SEA 2025 di VS Sports Club & Siam Polo Park, Samut Prakan, Thailand, hari ini.

Sebelum ini, pasukan negara berjaya menewaskan Brunei 6-5 pada peringkat kumpulan, namun tidak dapat mengulangi prestasi tersebut pada pertemuan semalam. Pengurus skuad polo kebangsaan, Datuk Shaiful Annuar Ahmad Shaffie, berkata para pemain telah memberikan yang terbaik, tetapi Brunei ternyata pasukan lebih kuat pada hari itu.

“Walaupun kami memberikan yang terbaik, hari ini bukan rezeki kami. Pada awal perlawanan, pemain utama saya, Muhammad Shahir Akmal Mohd Shah, terjatuh dan mengalami patah tulang,” katanya kepada Bernama.

Shaiful Annuar menambah, meskipun agak mengecewakan kerana tidak dapat menghadiahkan pingat emas, pasukan tetap bertekad menampilkan aksi bertenaga pada perebutan pingat gangsa menentang Filipina pada Rabu. Kali terakhir Malaysia merangkul pingat emas dalam acara equestrian polo adalah pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

Dalam aksi separuh akhir lain, tuan rumah Thailand menewaskan Filipina 11-1.5 untuk mengesahkan slot ke final menentang Brunei.

Sukan SEA ke-33 ini akan dibuka secara rasmi esok dan berlangsung di Bangkok serta Chonburi sehingga 20 Disember.

Sumber: Bernama

Related Articles

Back to top button