DomestikSemasa

BUDI95: Kementerian Komunikasi, MoF, KPDN Pastikan Maklumat Tepat Disalur Kepada Rakyat

Kementerian Komunikasi bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan syarikat minyak di seluruh negara menyalurkan maklumat yang tepat mengenai pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI (BUDI95) kepada pelanggan di stesen minyak.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu penting untuk memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat sahih terutama apabila program tersebut mula dilaksanakan.

“Saya juga telah minta supaya pihak MoF menjemput pempengaruh media sosial, pengendali laman sesawang, termasuk rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, ke satu sesi penerangan bagi memastikan maklumat yang lebih tepat dapat disampaikan.

“Kementerian Komunikasi juga memastikan isu-isu berkaitan disalurkan kepada orang ramai melalui media massa dan media sosial supaya tidak timbul kekeliruan,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Fahmi berkata agensi di bawah kementerian seperti Jabatan Penerangan dan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) juga diminta meneliti dokumen Frequently Asked Question (FAQ) yang disediakan MoF di laman sesawang rasmi www.budi95.gov.my bagi memudahkan penjelasan kepada rakyat.

“Saya juga arahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memaklumkan kepada semua pengurus Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) supaya membaca dan memahami FAQ itu, agar mudah memberi jawapan tepat kepada orang ramai.

“Soalan-soalan lazim yang dikemukakan antaranya mengenai penggunaan data dan sebab Touch ‘n Go dipilih sebagai penyedia perkhidmatan. Semua jawapan ada dihimpunkan dalam dokumen setebal lebih 36 muka surat,” katanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter berkuat kuasa 30 Sept ini melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata semua warganegara yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati subsidi itu, dengan lebih 16 juta rakyat dijangka mendapat manfaat berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Semakan kelayakan boleh dibuat bermula hari ini melalui portal rasmi www.budi95.gov.my.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button